Sports

Pasukan bola sepak UUM berjaya rangkul tempat keempat meskipun terkandas di separuh akhir Piala Menteri KPT

Gambar Pusat Sukan UUM

ARAU, 23 Jun 2025: Pasukan bola sepak Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke Kejohanan Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, meskipun menamatkan kempen Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 di tempat keempat.

Perjalanan cemerlang skuad muda UUM bermula dengan langkah yakin apabila berjaya mara ke separuh akhir pada 19 Jun lalu.

Dalam pertemuan sengit menentang Mahsa University (MUFC), pasukan UUM mempamerkan aksi bertenaga sebelum tewas 3-2 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan.

Keesokan harinya, UUM turun ke perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Management & Science University (MSU). Meskipun berusaha sedaya upaya, pasukan bimbingan Nur Helmi Yatus Daud selaku jurulatih terpaksa akur dengan kekalahan 4-1 dalam aksi yang penuh cabaran dan tekanan tinggi.

Pengurus pasukan, Zambri Mat melahirkan rasa bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang kejohanan.

“Walaupun kami tidak berjaya menduduki tempat pertama, saya amat berpuas hati dengan prestasi dan komitmen pemain-pemain muda kita.

“Mereka telah memberikan segala-galanya di atas padang dan layak berada di peringkat ini. Ini bukan penamat, tapi satu permulaan untuk lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Lebih membanggakan, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan semasa perlawanan berlangsung, sekali gus menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh pasukan.

Dengan tersenarainya UUM sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik kejohanan, skuad ini kini melangkah ke Kejohanan Piala Menteri KPT 2025, sebuah platform berprestij yang menghimpunkan pasukan bola sepak terbaik institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Penyertaan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan pasukan UUM dalam arena bola sepak IPT, malah turut menjadi pencetus inspirasi kepada warga kampus untuk terus menyokong kecemerlangan dalam bidang sukan dan pembangunan sahsiah pelajar. – Mohd Khairil Hazree Hairudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button