Sports

Pasukan Bola Tampar UUM raih tempat ketiga Kejohanan Bola Tampar Agensi Wilayah Utara

Berita dan gambar Mohd Azri Md Nadzir

LUBUK MERBAU, 11 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Tampar Agensi Wilayah Utara yang berlangsung di Dewan Felda Lubuk Merbau, semalam.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selaku agensi dan pasukan tuan rumah ini disertai 20 pasukan melibatkan pelbagai agensi dari negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, sekali gus menjadikan saingan berlangsung sengit dan berprestij.

Ketua pasukan bola tampar UUM, Mohd Hanief Omar Zulkifli berkata, dalam saingan peringkat kumpulan, pasukan bola tampar UUM muncul juara kumpulan selepas menewaskan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Kedah, Majlis Perbandaran Kulim serta pasukan tuan rumah, KEDA.

“Kecemerlangan UUM diteruskan di peringkat suku akhir apabila berjaya menewaskan pasukan Airport Fire Rescue Service (AFRS) Kedah. Namun, UUM terpaksa akur tewas kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah dalam perlawanan seterusnya, sekali gus melengkapkan kejohanan di kedudukan tempat ketiga keseluruhan.

“Pencapaian ini sebagai permulaan yang amat positif bagi tahun 2026, serta menzahirkan keyakinan bahawa pasukan bola tampar UUM mampu terus mengorak langkah lebih jauh dan seterusnya menyumbang pingat kepada UUM dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Lebih membanggakan, staf Jabatan Keselamatan UUM, Mohd Zulfaez Romli telah dinobatkan sebagai penerima anugerah “Best Server” kejohanan hasil prestasi cemerlang dan konsisten sepanjang pertandingan.

Pencapaian ini jelas mencerminkan semangat kesukanan, komitmen tinggi dan kerjasama berpasukan warga UUM dalam mengharumkan nama universiti di peringkat antara agensi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button