Sports

Pasukan Kancil juara futsal Kejohanan Sukan Staf UUM empat tahun berturut-turut

Gambar Zulkifli Omar

SINTOK, 6 Ogos 2025: Pasukan futsal Rumah Kancil mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Futsal sempena Sukan Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) 2025 buat kali keempat berturut-turut.

Kejayaan membanggakan itu lebih bermakna apabila ia diraih pada hari pertama kejohanan yang berlangsung di Arena Sukan, Pusat Sukan UUM, semalam.

Ketua Kontinjen Rumah Kancil, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar berkata, kejayaan pasukan futsal itu telah menyuntik semangat kepada semua atlet Rumah Kancil untuk memberikan persembahan terbaik dalam acara lain.

“Ini merupakan pingat pertama yang disumbangkan oleh pasukan Kancil daripada keseluruhan 16 acara sukan yang dipertandingkan dan ia adalah hasil kerja keras daripada latihan berterusan semua pemain.

“Kami amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian ini yang lahir daripada komitmen tinggi semua ahli pasukan. Mereka telah mempamerkan aksi bertenaga dan strategi permainan yang mantap sepanjang kejohanan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Ku Mohamad Rizal Ku Ismail berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih para pemain yang telah menjalani latihan sejak awal tahun.

Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan lebih ramai bakat baharu dalam kejohanan tahun ini telah memeriahkan lagi saingan bagi edisi Sukan Staf 2025.

“Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan pasukan, malah turut menjadi suntikan semangat untuk menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.

Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Futsal Rumah Kancil muncul juara, diikuti Rumah Helang sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Rumah Kenari.

Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Ketua Kontinjen, Prof. Madya Dr. Muslimin Wallang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button