Sports

Sukan Jalinan Muhibbah kukuh komunikasi korporat UUM dan UniMAP

Gambar Ihsan UniMAP

SINTOK, 3 Julai 2025: Program Sukan Jalinan Muhibbah Korporat antara Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Sukan UUM, sekali gus mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua institusi.

Acara dimulakan dengan sesi Fun Walk yang melibatkan penyertaan staf UUM dan UniMAP di sekitar kawasan Pusat Sukan UUM termasuk Taman Rusa sebagai simbolik permulaan aktiviti riadah dan sukan bersama.

Seterusnya, peserta bergerak ke Inapan Siswa MISC bagi menyertai acara pertama iaitu pertandingan bola jaring melibatkan pasukan wanita JKK UUM dan PKK UniMAP.

Selesai pertandingan tersebut, peserta kembali ke Pusat Sukan untuk meneruskan acara seterusnya seperti pertandingan bola tampar (kategori lelaki) serta badminton beregu dan perseorangan kategori lelaki dan wanita.

Pengarah JKK UUM, Kori Ariff merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dari UniMAP serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran sukan ini.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan harian, program sebegini memberi peluang kepada kita untuk beriadah dan mengeratkan silaturahim.

“Jabatan kita pun lebih kurang sama sahaja fungsinya, jadi amat wajar untuk kita bekerjasama dan saling menyokong,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), UniMAP, Muhammad Azuan Mohamad Nasir berkata, program seumpama ini sangat penting dalam membina jaringan ukhuwah dan kolaborasi antara warga UUM dan UniMAP.

“Hubungan antara UUM dan UniMAP sangat istimewa kerana kita berjiran dan dekat, umpama cubit paha kanan, paha kiri terasa.

“Saya berharap jalinan seperti ini akan terus kekal dan diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.

Program ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah memperkukuh kerjasama strategik antara jabatan komunikasi korporat kedua-dua universiti.

Sukan Jalinan Muhibbah Korporat menyaksikan pasukan UniMAP mengungguli hampir kesemua perlawanan dan UUM hanya memenangi acara beregu lelaki. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button