UUM juara Kejohanan Piala KP SPRM Kedah
Berita dan gambar Muhammad Hafidz Baharudin
SINTOK, 15 Jun 2025: Pasukan bola sepak Universiti Utara Malaysia (UUM STAF) berjaya mengharumkan nama universiti apabila muncul juara Kejohanan Piala Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM Kedah yang berlangsung di Stadium UUM, baru-baru ini.
Kejohanan yang disertai empat pasukan iaitu SPRM Kedah/Perlis, SPRM Pulau Pinang/Perak, Angkatan Persatuan Negara Malaysia (APNM), dan UUM itu menyaksikan persaingan sengit antara pasukan.
Ketua pasukan, Mohamad Sayazi Abdul Mutalib berkata, UUM melakar kemenangan bergaya apabila menumpaskan pasukan SPRM Pulau Pinang/Perak dengan jaringan 2-0 di perlawanan akhir, sekali gus merangkul kejuaraan kejohanan tersebut.
Sebelum itu, di peringkat kalah mati, UUM turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila menewaskan pasukan APNM dengan jaringan besar 5-1.
Pengurus Pasukan, Muhammad Hafidz Baharudin berkata, kemenangan ini membuktikan bahawa UUM masih mempunyai pasukan bola sepak senior yang mantap dan berdaya saing untuk menggalas cabaran universiti ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Menurutnya, dengan disiplin serta komitmen yang tinggi ditunjukkan masing-masing, UUM mampu pergi lebih jauh lagi.
“Kejayaan ini bukan hanya milik pasukan, tetapi milik seluruh UUM yang percaya kepada kemampuan kami.
“Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan prestasi ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.