Tech

Pengurusan sisa tanaman jagung dengan kepelbagaian hasil dan penggunaan teknik silaj tingkatkan keberkesanan ekonomi

KODIANG, 6 Mei 2025: Pengurusan sisa tanaman berasaskan jagung adalah merujuk kepada kaedah pengurusan dan pemprosesan sisa yang dihasilkan daripada aktiviti pertanian jagung. Sisa tanaman jagung ini termasuklah bahagian-bahagian tanaman yang tidak dapat dipasarkan atau digunakan sebagai makanan seperti batang jagung, daun jagung dan tongkol jagung.

Tujuan utama pengurusan sisa tanaman berasaskan jagung ini adalah untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar seterusnya meningkatkan keberlanjutan pertanian.

Terdapat beberapa pendekatan dalam pengurusan sisa tanaman jagung ini iaitu pertama; pengkomposan yang mana menggunakan sisa tanaman jagung untuk dijadikan kompos serta boleh digunakan semula sebagai baja organik untuk meningkatkan kesuburan tanah.

Kedua; penggunaan sebagai bahan bakar dimana batang jagung dan sisa-sisa lain boleh digunakan sebagai bahan bakar dalam bentuk pelet atau biojisim untuk menggantikan bahan bakar fosil serta mengurangkan pelepasan karbon.

Ketiga; pembuatan produk lain dimana sisa tanaman jagung boleh diproses untuk menghasilkan produk lain seperti kertas, bahan binaan atau produk tekstil.

Keempat; pemulihan bahan kimia atau bahan berharga dimana beberapa bahagian sisa tanaman jagung mungkin mengandungi bahan kimia atau nutrien yang berharga yang boleh dipulihkan dan digunakan dalam industri lain.

Selain itu, pengurusan sisa tanaman jagung melalui teknik silaj juga merupakan salah satu amalan pertanian yang dapat meningkatkan keberkesanan ekonomi dalam industri pertanian dan penternakan. Teknik ini melibatkan pemprosesan sisa tanaman jagung seperti batang, daun dan tongkol jagung menjadi silaj.

Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, STML, UUM, Prof. Madya Ts Dr. Nurul Azita Salleh  kini sedang menjalankan projek komuniti pengurusan tanaman jagung bagi pengairan dan sisa jagung di Kampung Kodiang Lama Dalam di bawah Social Innovation Grant Scheme (SIGS).

Beliau berkata, silaj jagung ini sememangnya dapat memberi impak positif dari segi kos dan lestari serta merupakan satu inovasi yang praktikal, ekonomik dan mesra alam dalam industri pertanian dan penternakan.

Jelasnya, silaj jagung adalah hasil fermentasi anaerobik tanaman jagung, yang melibatkan penguraian bahan-bahan organik seperti batang, daun dan biji atau jerami atau rumput. Proses ini dilakukan dengan cara memotong dan mencincang jagung, kemudian menyimpannya dalam tong kedap udara.

“Silaj boleh dihasilkan melalui proses fermentasi (penapaian) selama 14 hari. Dalam keadaan ini, bakteria asid laktik yang terdapat secara semulajadi pada tumbuhan akan memfermentasi jagung, menghasilkan asid laktik yang mengekalkan kandungan nutrisi dalam jagung.

“Fermentasi ini mengeluarkan bau masam manis, seterusnya terhasillah makanan ternakan yang kaya dengan karbohidrat, protein, dan serat yang sesuai untuk diberi kepada semua jenis ternakan ruminan. Malah, ianya boleh disimpan dalam tempoh yang lama, enam bulan dan lebih lama mengikut cara penyimpanan.

“Silaj sesuai digunakan ketika musim kemarau dan hujan malah dalam apa sahaja situasi kecemasan yang lain, silaj adalah penyelamat buat penternak lembu, kerbau, kambing, rusa dan segala ruminan,” ujarnya.

Dengan proses penghasilan yang sesuai dan pengurusan yang baik, silaj jagung mampu meningkatkan produktiviti ternakan ruminan dan mengurangkan kos operasi.

Ujarnya, keberkesanan ekonomi melalui teknik silaj ini dapat dicapai melalui pertama; penggunaan maksimum sumber tanaman dimana melalui teknik silaj, sisa-sisa ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghasilkan makanan ternakan khususnya ternakan ruminan yang berkualiti tanpa memerlukan sumber bahan makanan luar yang lebih mahal. Ini membantu mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan margin keuntungan bagi petani dan penternak.

Kedua; pengurangan kos makanan ternakan dimana hasil pembuatan silaj jagung ini membolehkan penternak menghasilkan makanan yang berharga yang lebih rendah berbanding dengan membeli makanan komersial. Silaj jagung yang dihasilkan secara domestik membantu mengurangkan kebergantungan pada makanan import atau makanan yang lebih mahal sekaligus menjadikan kos penternakan lebih terkawal serta dapat menghadapi ketidakstabilan harga di pasaran.

Ketiga; keberlanjutan dan kitar semula nutrien dimana pengurusan sisa tanaman jagung dengan silaj turut membantu memastikan kitaran nutrien dalam ekosistem pertanian berjalan dengan lebih lancar. Sisa tanaman yang telah diproses dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar seperti pembakaran sisa tanaman yang boleh mencemarkan udara. Di samping itu, silaj jagung juga mengandungi banyak karbohidrat dan serat yang dapat memberi manfaat kepada kesihatan ternakan serta meningkatkan produktiviti haiwan dengan memberikan makanan yang lebih berkhasiat dan mudah dicerna.

Keempat; penyimpanan makanan dalam jangka masa panjang dimana penternak boleh menyimpan silaj dalam keadaan terkawal selama berbulan-bulan atau sepanjang tahun. Ini membolehkan mereka dapat mengatasi kekurangan makanan semasa musim kering atau ketika hasil tanaman lain tidak mencukupi. Keupayaan untuk menyimpan makanan dalam jangka masa yang panjang memberikan kestabilan kepada pengurusan ternakan dan meningkatkan keberkesanan ekonomi.

Kelima; peningkatan hasil ternakan dimana silaj jagung mampu memberikan sumber makanan yang kaya dengan nutrien serta membantu pertumbuhan ternakan yang lebih cepat dan sihat. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan hasil pengeluaran ternakan seperti daging, susu atau telur serta memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada penternak. Hasil ternakan yang lebih berkualiti dan banyak dapat membantu meningkatkan pendapatan, sekaligus menyokong keberkesanan ekonomi operasi ternakan.

Keenam; penyelesaian masalah pembaziran dimana dengan teknik silaj ini, pembaziran dapat dikurangkan dan tanaman jagung yang tidak produktif mampu menjadi sumber yang menguntungkan daripada terus dibakar atau dibiarkan membusuk di ladang. Penggunaan sisa tanaman dalam penghasilan silaj juga menyumbang kepada penjimatan kos dan menjadikan sistem pertanian lebih berkesan dan lestari.

Ketujuh; menggalakkan praktik pertanian lestari dimana dengan memanfaatkan sisa tanaman jagung untuk menghasilkan makanan ternakan, maka pertanian yang dijalankan menjadi lebih mesra alam dan kurang bergantung kepada sumber luar yang boleh merosakkan alam seterusnya dapat memelihara kesuburan tanah.

Secara keseluruhannya, pengurusan sisa tanaman jagung adalah berasaskan prinsip ekonomi sirkular di mana sisa bukan dianggap sebagai bahan buangan tetapi sebagai sumber yang boleh diproses semula dan memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi secara keseluruhan.

Malah, pengurusan sisa tanaman jagung dengan teknik silaj juga adalah strategi yang berpotensi besar untuk meningkatkan keberkesanan ekonomi dalam pertanian dan penternakan. Dengan memanfaatkan sepenuhnya sisa tanaman melalui teknik ini, ianya bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti pertanian dan penternakan, tetapi juga membantu petani dan penternak menyediakan makanan berkualiti tinggi untuk ternakan yang mampu mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan, mengurangkan pembaziran, pencemaran serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui penggunaan sumber secara lebih cekap dan mengurangkan kesan negatif terhadap ekosistem. Selain itu, teknik silaj ini turut menyokong amalan pertanian yang lebih mampan dan menjaga kelestarian alam sekitar serta menjadikannya pilihan yang bijak untuk masa depan industri pertanian.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button