Kembara Patriotik tiup semangat sayangkan negara
Sintok – Deruan enjin bergema di Universiti Utara Malaysia (UUM) menghangatkan lagi bulan kemerdekaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 tidak lama lagi.
Pelepasan konvoi yang disertai 37 staf UUM dan 67 staf Universiti Malaysia Kelantan (UMK), menuju ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena Kembara Patriotik Zon Utara 2024 disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan di Inapan Siswa Sime Darby, UUM, baru-baru ini.
Penyelaras projek, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, program sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat UUM dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia (JSM) UUM, UMK, Inapan Siswa Sime Darby dan Uriders Club UUM membabitkan seramai 104 staf.
“Peserta UMK berkonvoi dari Kelantan, setibanya di UUM mereka dibawa pusing kampus. Pada sebelah petang mereka turut menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial Korporat (CSR) bagi Projek Healing Port Siswa Inasis Sime Darby bersebelahan Tasik UUM bertujuan menyediakan tempat rehat kepada pelajar setelah penat belajar dan beraktiviti.
“Sebagai tanda kasih sesama saudara warga UUM bergotong-royong memasak demi meraikan tetamu dari jauh diikuti dengan ceramah kemerdekaan yang disampaikan oleh pensyarah SLCP, Prof. Madya Dr. Muhamad Amar Mahmad,” ujarnya.
Mengangkat tema Minda Tenang Pekerja Sejahtera, acara ini juga dapat membina jaringan kerjasama antara UUM, UMK dan UniMAP serta melahirkan staf yang mempunyai minda sejahtera dan semangat tinggi untuk membantu organisasi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pengerusi Uriders Club, Mohd Fadzlul Naim Md Tayib berkata, kembara ini menyuntik kesedaran kemerdekaan melalui aktiviti konvoi.
“Saya bangga menjadi anak Malaysia walaupun berbeza budaya agama, rakyatnya hidup aman damai. Kita boleh menyambut kemerdekaan dengan pelbagai cara, jadi tunjukkan rasa cinta pada Malaysia dengan cara masing-masing.
“Apabila menunggang motosikal beramai-ramai ia meniupkan semangat patriotisme dalam diri selain menjadi aspirasinya untuk mengingatkan orang ramai, bahawa kita berada dalam bulan kemerdekaan,” katanya.
Tambahnya, kembara ini menanamkan semangat kemerdekaan dengan mengambil berat urusan kecemerlangan organisasi ke arah membina masyarakat Madani yang amat mementingkan aspek pekerja yang memiliki jiwa dan minda sejahtera.
Uriders Club ditubuhkan pada 2023 dengan keahlian terdiri daripada staf, alumni, pesara dan pelajar UUM yang mengumpulkan pelbagai jenis motosikal untuk mengenali antara satu sama lain sambil berkongsi minat serta menikmati keseronokan berkonvoi dan melakukan aktiviti bersama-sama.
Sementara itu, satu-satunya peserta wanita, Dr. Malina Zulkifli menyifatkan pengalaman menyertai kembara ini amat mengujakannya.
“Walaupun saya pernah menyertai konvoi namun kali ini lebih istimewa kerana menyambut kemerdekaaan negara yang ke-67.
“Trend sekarang memang konvoi motor tak kira motor besar atau kecil apatah lagi bila konvoi itu disertai dengan kibaran jalur gemilang semestinya menarik minat masyarakat secara tidak langsung memberi kesedaran bahawa ini bulan merdeka yang memberi kemenangan kepada negara kita.
“Erti kemerdekaan pada saya adalah kebebasan yang amat berharga, kita mampu membuat keputusan kita sendiri tanpa pengaruh sesiapa. Dengan menyertai kembara ini, menyemarakkan lagi rasa kecintaan kita kepada tanah air sambil mengibarkan jalur gemilang kebanggaan kita,” ujarnya yang juga pensyarah SQS UUM.
Momen ini turut membuka peluang untuk mengenal kawan baharu dari kalangan pensyarah dan staf pentadbiran termasuk dari universiti lain.
“Walaupun satu universiti tapi kita jarang bertemu malah ada yang langsung tidak kenal jadi program ini sangat bagus kerana dapat mengeratkan persaudaraan,” katanya.