Kongsi pengalaman UUM dalam pemerkasaan komuniti di APUCEN
Chongqing, China, 22 Disember 2024 – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Russayani Ismail, telah mewakili UUM dalam Sidang Kemuncak ke-5 Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN).
Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Empowering Local Community through University Collaboration.
Dalam sesi pembentangannya, Prof. Dr. Russayani menekankan peranan strategik UUM dalam memperkasa komuniti melalui inisiatif seperti UUM Living Campus 2030 dan Changloon Transformation Project.
“Kedua-dua program ini bertujuan memajukan sosioekonomi Kedah, salah satu kawasan kurang membangun di Malaysia, dengan pendekatan berasaskan rangka kerja Technology Readiness Level (TRL).
“Melalui perancangan rapi dan sokongan pembiayaan, program ini berjaya menyelaraskan inovasi tempatan untuk menghasilkan manfaat sosioekonomi yang ketara, sekaligus mencipta model pembangunan lestari yang boleh direplikasi di kawasan lain,” ujarnya, baru-baru ini.
Katanya platform seperti ini menyediakan peluang terbaik untuk berkongsi amalan terbaik dan menjalin kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, selain mempromosikan keunggulan UUM di China.
Beliau turut diiringi oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).
Penglibatan UUM dalam sidang kemuncak ini membuktikan komitmen universiti terhadap aktiviti pemerkasaan komuniti.
Selain mempromosikan program yang telah dijalankan oleh warga UUM, universiti juga berpeluang mempelajari dan mengadaptasi amalan terbaik daripada negara-negara anggota APUCEN. Usaha ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pencapaian Teras 3 Pelan Strategik UUM, khususnya dalam konteks pemindahan ilmu kepada komuniti yang memerlukan.
APUCEN, yang ditubuhkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada Julai 2011, merupakan jaringan serantau Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bertujuan mempromosikan budaya pemerkasaan komuniti melalui penglibatan universiti.
Fokus utama APUCEN adalah kepada intervensi berasaskan kepakaran pelbagai bidang untuk meningkatkan kualiti hidup individu dan komuniti.
Sidang kemuncak bertemakan The Future is Now: Connecting the World through Economy, Technology, and Innovation telah dirasmikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhammad Akmal Abdul Wahab, seorang alumni UUM yang berkelulusan Sarjana Sains Pengajian Strategik dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).
Sidang kemuncak ini turut menampilkan ucaptama daripada tokoh akademik terkemuka seperti Prof. Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail, Presiden International Medical University; Prof. Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia; Prof. Dr. Mahazan Abdul Mutalib, Penyelaras UNESCO di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); dan Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pengarah Eksekutif APUCEN.