Ahmad Maslan adakan sesi perkongsian bersama warga UUM
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 28 April 2025: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, telah mengadakan sesi perkongsian bersama warga Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).
Lawatan tidak rasmi itu diadakan sempena kehadiran beliau ke negeri Kedah bagi menghadiri perbincangan proses akhir persediaan viva tesis PhD dalam bidang Komunikasi.
Sesi yang turut dihadiri Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad, memberi ruang kepada perbincangan awal mengenai potensi kerjasama strategik antara pihak kementerian dan SMMTC.
Tumpuan utama adalah terhadap bidang penyelidikan, latihan, dan perundingan bagi memperkukuh kecemerlangan akademik serta pembangunan profesional.
Dalam sesi tersebut, Ahmad Maslan turut berkongsi pengalaman peribadi dan pandangan beliau terhadap kebolehpasaran graduan UUM. Beliau memberi contoh alumni universiti tersebut yang kini bertugas dalam bidang pengurusan media bersamanya, selepas sebelum ini berkhidmat di syarikat penerbangan tempatan.
Selain itu, beliau menjelaskan bidang tugasnya di Kementerian Kerja Raya termasuk penglibatan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pengurusan kontraktor serta sektor pembinaan negara.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan teknologi, khususnya penggunaan Building Information Modelling (BIM), dalam mempertingkat kecekapan industri pembinaan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)