SLCP perkasa peranan bahasa dan kesusasteraan dalam dunia digital
Berita dan gambar Dr. Maulana Al-Fin Che Man
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkasakan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam arus perkembangan teknologi apabila tampil dalam slot temu bual program Apa Khabar Malaysia (AKM) 2025 yang disiarkan secara langsung melalui BERNAMA TV.
Segmen bertajuk “Bahasa dan Kesusasteraan dalam Dunia Teknologi” itu menampilkan dua panel dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP) iaitu Timbalan Dekan, Dr. Maizatul Azura Yahya, dan Pensyarah Kanan, Dr. Maulana Al-Fin Che Man.
Dalam temu bual berdurasi lebih 20 minit itu, panel berkongsi bagaimana kemajuan teknologi membuka peluang baharu dalam bidang bahasa dan sastera antaranya menerusi usaha pendigitalan manuskrip, puisi, cerpen, serta penghasilan karya kreatif berasaskan teknologi.
Dr. Maizatul Azura berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membantu memperkaya dunia bahasa dan kesusasteraan melalui pembangunan aplikasi pembelajaran bahasa yang memanfaatkan algoritma, penghasilan puisi secara digital yang dilengkapkan dengan elemen multimedia seperti grafik dan animasi serta memperluaskan capaian bahan sastera kepada masyarakat global.
Beliau turut memperkenalkan dua program pengajian baharu UUM yang menggabungkan bidang bahasa, sastera dan teknologi, iaitu Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat di mana program yang menggabungkan pengajian linguistik dengan kecekapan dalam pengaturcaraan, analisis data dan kejuruteraan perisian serta membuka peluang luas dalam sektor perbankan, petroleum dan penerbitan.
Selain itu, Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif yang melatih pelajar dalam bidang penulisan kreatif, produksi filem dan media serta industri kreatif seperti bidang grafik dan animasi.
Sementara itu, menjawab persoalan tentang kajian multidisiplinari melibatkan bahasa, sastera dan teknologi digital, Dr Maulana Al-Fin menyatakan kajian seumpama itu melibatkan kerjasama antara bidang linguistik, sastera dan teknologi maklumat untuk memahami bagaimana teknologi mempengaruhi penggunaan bahasa dan penyebaran sastera serta bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan pemeliharaan budaya.
Menyentuh tentang projek inovatif melibatkan bidang bahasa di UUM pula, Dr. Maulana Al-Fin menjelaskan bahawa pelajar turut terlibat dalam projek pendigitalan bahasa Orang Asli, menerusi pengumpulan istilah, tatabahasa dan tatabudaya masyarakat peribumi untuk tujuan arkib digital.
“Bahasa dan kesusasteraan tidak pernah terpinggir dalam era digital. Sebaliknya, teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkasa warisan budaya kita,” katanya.
Penekanan turut diberikan kepada nilai tambah graduan UUM, yang pelajarnya tidak memperoleh ijazah semata-mata, malah turut dibekalkan sijil kemahiran tambahan dalam bidang IT dan kreatif bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja global.
Dalam kesimpulan temu bual, kedua-dua panel menyeru generasi muda agar tidak gentar menceburi bidang bahasa dan kesusasteraan, sebaliknya melihat peluang besar menerusi gabungan dengan teknologi moden.
“Gunakan AI dan teknologi untuk memartabatkan bahasa dan budaya lokal ke pentas dunia,” pesan mereka.
Slot temu bual ini sekali gus membuktikan kesungguhan UUM untuk melahirkan graduan holistik yang mampu bergerak seiring keperluan Revolusi Industri 4.0 dan pembangunan masyarakat berteraskan ilmu dan budaya.