SQS perkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui SQS Roundtable Discussion with University Partners
Gambar Jawatankuasa Pengantarabangsaan dan MoU SQS
SINTOK, 8 Julai 2025: Jawatankuasa Pengantarabangsaan dan memorandum persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan SQS Roundtable Discussion with University Partners secara dalam talian bersama institusi rakan strategik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini.
RTD ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik dan penyelidikan melibatkan penyertaan wakil-wakil dari 10 institusi rakan MoU dari luar negara seperti UIN Sunan Gunung Djati, Indonesia, University of Santo Tomas, Filipina, Shahjalal University of Science and Technology, Bangladesh, Tashkent International University of Financial Management and Technologies, Uzbekistan, Tashkent State University of Economics, Uzbekistan, Termez State University, Uzbekistan, University of Anbar, Iraq, Gombe State University, Nigeria, CUNEF University, Sepanyol dan High National School of Statistics and Applied Economy, Algeria.
Sesi yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antarabangsa antara SQS dan institusi rakan MoU ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh moderator, Nik Nadhilah Nik Mohd Yusoff, diikuti tayangan video korporat UUM.
Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, tujuan sesi ini diadakan untuk perkongsian maklumat serta perbincangan awal ke arah pelaksanaan aktiviti bersama.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti dalam mendepani cabaran global serta memperkasa jaringan akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan mobiliti.
Seterusnya, sesi pembentangan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SQS, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman yang mengetengahkan inisiatif dan perancangan SQS dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, termasuk pelaksanaan program pembangunan akademik, program mobiliti, penyelidikan bersama dan penawaran kursus jangka pendek bersama institusi rakan MoU.
Antara perkara lain yang diketengahkan ialah berkenaan Malaysia International Scholarship, International Faculty Exchange Week 2025 dan Graduate Pass yang terbuka kepada pelajar dan ahli akademik antarabangsa.
Setiap institusi rakan MoU turut memperkenalkan profil dan pencapaian masing-masing yang merangkumi aspek akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan potensi kerjasama.
Perbincangan susulan akan dirancang bersama institusi rakan kerjasama dengan tumpuan yang lebih terarah kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti strategik seperti penyelidikan bersama, program mobiliti serta penganjuran aktiviti akademik bersama.
Sesi diakhiri dengan ucapan penutup daripada Dr. Haslinda yang merumuskan hala tuju kerjasama yang bakal dirintis serta menyatakan komitmen SQS dalam memperkukuh hubungan strategik bersama institusi rakan MoU luar negara. – Dr. Zurina Hanafi