UUM peroleh sijil audit tanpa teguran bagi penyata kewangan 2024
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
IPOH, 29 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya memperoleh Sijil Audit Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-Hal Lain bagi Penyata Kewangan Tahun Berakhir 31 Disember 2024 daripada Jabatan Audit Negara.

Sijil berkenaan diserahkan semasa Sesi Penutup Pengauditan Penyata Kewangan UUM, yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara, bertempat di Jabatan Audit Negara Negeri Perak.
Dalam ucapan beliau, YBhg. Dato’ Seri Ketua Audit Negara menzahirkan penghargaan atas usaha dan komitmen UUM dalam memastikan tadbir urus kewangan universiti berada pada tahap yang baik. Beliau turut menyarankan beberapa langkah penambahbaikan yang wajar diberi perhatian bagi memperkukuh lagi tatacara dan kecekapan pengurusan kewangan universiti pada masa hadapan.

Majlis tersebut turut menyaksikan pembentangan hasil pengauditan e-SelfAudit yang telah dijalankan ke atas enam anak syarikat UUM, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemantapan kawalan dalaman dan ketelusan operasi syarikat subsidiari universiti.
Acara diteruskan dengan penandatanganan serta penyerahan Sijil Audit Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, diikuti dengan penyerahan Perakuan dan Pandangan Ketua Audit Negara mengenai Pengauditan e-SelfAudit Syarikat Subsidiari UUM.

Turut hadir ialah wakil Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta barisan pengurusan tertinggi anak-anak syarikat UUM.
Pencapaian ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memastikan pengurusan kewangan yang berintegriti, telus dan selaras dengan piawaian audit negara.
Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Seri Wan Suraya Wan Radzi, wakil Jabatan Audit Negara, wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, serta barisan pengurusan UUM. – Siti Farhana Shabudin



