Campus

Perkukuh budaya penyelidikan kuantitatif dengan YRQS 2026

Berita dan gambar Dr. Nursyazwani Mohamad Noor

SINTOK, 8 Januari 2026: The 6th Young Research Quantitative Symposium (YRQS) 2026 telah berjaya dianjurkan di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) pada Selasa lalu sebagai platform akademik untuk memupuk pemikiran analitikal serta memperkasakan penyelidik muda yang selaras dengan slogan program iaitu Empowering Analytical Minds for Sustainable Development.

Pengisian program ini adalah pembentangan projek pelajar-pelajar akhir tahun SQS yang terdiri daripada pelbagai bidang iaitu Matematik Perniagaan, Statistik Industri, dan Sains Pemutusan.

Pengerusi program, Ruzleeta Zakaria berkata, seramai 161 pelajar telah menyertai program ini dengan tajuk-tajuk yang sangat menarik malah dapat memberi ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan pemikiran analitikal dan kaedah kuantitatif dalam membincangkan isu-isu semasa merangkumi aspek sosial, ekonomi, dan persekitaran, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan.

Setelah selesai dengan sesi pembentangan projek, program diceriakan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat yang terdiri daripada Pengarah Kanan, Government Digitalisation Division, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Firdaus Abdul Ghani; pensyarah SQS, Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz, dan penjawat SQS.

Acara dimulakan dengan penceramah daripada sektor akademik, Dr. Nazrina dengan tajuk “Mapping the Spread: From Zombies to Zoonoses… and Beyond”. Perkongsian ini menekankan kepentingan pendekatan kuantitatif dan pemetaan risiko relatif dalam memahami corak penyebaran pelbagai fenomena, termasuk penyakit berjangkit, tingkah laku sosial dan isu persekitaran. Pendekatan ini membuktikan bagaimana pemikiran analitikal mampu menyokong perancangan intervensi yang lebih berkesan dan lestari.

Kemudian, perkongsian ilmu daripada Firdaus bagi mewakili sektor industri di mana beliau menekankan peranan infrastruktur pembayaran digital nasional dalam menyokong pendigitalan kerajaan dan pembangunan lestari.

Perkongsian ini memperlihatkan bagaimana sistem seperti DuitNow, FPX dan MyDebit memperkasa kecekapan, keterangkuman dan akses perkhidmatan awam melalui pendekatan berasaskan data. Sesi ini selari dengan aspirasi YRQS 2026 dalam memperkasa minda analitikal bagi menyokong pembangunan mampan.

Secara keseluruhannya, penganjuran YRQS 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa minda analitikal penyelidik muda, menggalakkan penyelidikan berasaskan data, serta menyokong pembangunan lestari melalui pendekatan kuantitatif, demi kecemerlangan akademik dan kelestarian masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button