Profesor Adjung bimbing pelajar SOL perkukuh kemahiran belajar undang-undang
Berita dan gambar Dr. Mukhriz Mat Rus
SINTOK, 13 Januari 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) telah menganjurkan program bertajuk ‘Learning the Law: An Exclusive Session with Adjunct Professor’ pada 17 Disember tahun lalu di Dewan Kuliah Gugusan 2, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyasarkan pelajar tahun pertama yang baru mendaftar masuk semester A251.

Program ilmiah ini menampilkan Yang Arif Profesor Adjung Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, yang merupakan Hakim Utama Mahkamah-Mahkamah Negeri Kedah merangkap Hakim Kanan Mahkamah-Mahkamah Tinggi Negeri Kedah.
Sebagai tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam landskap perundangan dan kehakiman, Dr. Johan turut kerap memberikan sumbangan signifikan dalam ekosistem pendidikan undang-undang. Dalam sesi tersebut, beliau menyuntik kefahaman para pelajar mengenai falsafah pendidikan perundangan serta menekankan kaedah dan kemahiran kritikal yang perlu dikuasai sepanjang tempoh pengajian. Malah, perkongsian beliau berjaya menghubungkan teori akademik dengan realiti praktikal amalan perundangan semasa.

Pengerusi Program Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B), Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, pemilihan tajuk program tersebut diinspirasikan daripada karya klasik tulisan Glanville Williams, ‘Learning the Law (1945)’ yang merupakan rujukan ikonik bagi setiap penuntut undang-undang.
“Pengisian yang disampaikan oleh profesor adjung bukan sahaja berjaya memenuhi objektif program dalam memberi pendedahan holistik kepada pelajar, malah ia berfungsi sebagai platform buat para pensyarah untuk memperkukuh kaedah pengajaran subjek perundangan masing-masing,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan pusat pengajian, antaranya Timbalan Dekan Akademik dan Pengantarabangsaan, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain serta Pengarah, Legal and Justice Research Centre (LJRC), Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman.



