UUM dan Perodua perkukuh kerjasama strategik Industri–Universiti
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 19 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan industri automotif negara apabila menganjurkan Mesyuarat Perbincangan Kolaborasi Strategik bersama Perodua di EDC Hotel, Universiti Utara Malaysia, di sini semalam.

Mesyuarat tersebut bertujuan memperkasa hubungan kolaboratif antara universiti dan industri, khususnya dalam aspek penjenamaan, pembangunan pelajar serta penerokaan peluang kerjasama strategik jangka panjang yang memberi manfaat bersama.
Antara fokus utama perbincangan ialah cadangan penjenamaan semula Inapan Siswa (INASIS) UUM yang melibatkan pertukaran nama INASIS Petronas kepada INASIS Perodua, selain penjenamaan Dewan Arena di Pusat Sukan UUM sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan strategik kampus.

Turut dibincangkan ialah cadangan penyediaan perkhidmatan sewaan kenderaan Perodua di UUM, penubuhan kemudahan bengkel kenderaan Perodua di UUM Sintok serta peluang kolaborasi strategik lain pada masa hadapan yang berpotensi menyokong keperluan universiti dan kebajikan pelajar.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata kerjasama tersebut selari dengan identiti UUM sebagai universiti pengurusan yang sejak penubuhannya pada tahun 1982 sentiasa menekankan hubungan erat dengan pihak industri.

“Melalui kerjasama strategik ini, pelbagai inisiatif berpotensi dapat dilaksanakan termasuk penjenamaan dinamik menggunakan nama Perodua, penempatan model kenderaan terkini sebagai bahan pameran serta menjadikan kampus sebagai lokasi pameran atau pelancaran produk,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kebajikan pelajar melalui pelaksanaan program bank makanan, penyediaan mesin bantuan, penganjuran pameran kerjaya sempena konvokesyen serta sokongan industri dalam aspek logistik dan pengangkutan.

Selain itu, UUM juga bersedia menyumbang kepakaran akademiknya kepada rakan industri menerusi penganjuran latihan profesional, program pembangunan sumber manusia dan khidmat perundingan.
UUM mempunyai kepakaran meluas dalam bidang perakaunan, undang-undang, perbankan dan kewangan Islam serta pengurusan strategik.
“Dengan kekuatan kepakaran yang ada, UUM sentiasa terbuka untuk menjadi rakan strategik industri dalam penganjuran latihan, bengkel dan mesyuarat strategik,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata pendekatan pembangunan industri masa kini tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada aspek kejuruteraan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penciptaan pasaran, pembangunan produk serta strategi pengurusan yang mampan.

Menurut beliau, kerjasama antara universiti dan industri perlu melangkaui model tradisional dengan melibatkan penyelidikan, inovasi, pemasaran serta aplikasi teknologi digital bagi memastikan kelestarian industri.
Beliau menyifatkan UUM sebagai sebuah institusi yang mempunyai potensi besar berikutan ekosistem akademik yang kukuh serta jumlah pelajar yang ramai, khususnya dalam bidang pengurusan, pemasaran dan teknologi digital sejajar dengan hala tuju baharu industri automotif dan mobiliti masa hadapan.

Beliau menyatakan harapan agar kerjasama strategik antara Perodua dan UUM yang dibincangkan dapat direalisasikan secara berperingkat dan memberi manfaat bersama, selain menyumbang kepada pembangunan universiti serta industri automotif negara.
Penganjuran mensyuarat ini turut mencerminkan komitmen berterusan UUM dan Perodua dalam membina ekosistem kerjasama universiti–industri yang mampan, dinamik dan berimpak tinggi.
Delegasi Perodua turut dibawa melawat beberapa lokasi sekitar kampus termasuk Anjung Tamu, Inapan Siswa Petronas, Varsity Mall, bengkel kenderaan serta Arena Pusat Sukan UUM.



