UUM terima lawatan kunjungan delegasi Al-Widan Islamic School dari Indonesia
Berita dan gambar oleh Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Praktikum JKK)
SINTOK, 21 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) pagi ini menerima kunjungan satu delegasi dari sebuah sekolah antarabangsa dari Indonesia, iaitu AL WILDAN Islamic School, yang diketuai oleh Presiden Direktur AL WILDAN Islamic School, Prof. Dr. Abdurrahim Al Basyir, M. Pd., dan turut disertai beberapa guru serta barisan pengurusan tertinggi sekolah bersama seramai 100 orang pelajar peringkat sekolah menengah atas.

AL WILDAN Islamic School merupakan antara institusi pendidikan Islam terkemuka di Indonesia yang kini mempunyai 32 cawangan di seluruh Indonesia, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat serta kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan yang ditawarkan oleh institusi tersebut.
Kunjungan ini merangkumi kunjungan hormat Presiden AL WILDAN Islamic School kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia, di samping memberi pendedahan awal kepada para pelajar terhadap suasana pembelajaran dan ekosistem pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.
Dalam konteks ini, UUM diperkenalkan sebagai antara institusi pendidikan tinggi berpotensi untuk dijadikan destinasi pelanjutan pengajian mereka pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, satu taklimat ringkas mengenai UUM telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasaran Universiti Utara Malaysia, bertempat di Dewan Kuliah Gugusan 1 (DKG 1) yang merangkumi pengenalan universiti, penawaran akademik serta kelebihan UUM sebagai universiti berteraskan pengurusan.
Selesai sesi taklimat, delegasi dibawa untuk meninjau kemudahan pembelajaran di Perpustakaan Sultanah Bahiyah sebelum meneruskan lawatan sekitar kampus dengan menaiki bas bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai persekitaran dan fasiliti yang terdapat di UUM.
Lawatan ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa serta mempromosikan universiti sebagai hab pendidikan global yang mampu menarik minat pelajar dari luar negara.



