Education

Program SULAM tangani isu buli di sekolah rendah

Berita dan gambar Dr. Siti Hajar Salwa Abdul Abdul

PERLIS, 25 Januari 2026: Pelajar semester akhir Kursus Seminar Pentadbiran Muamalat, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lubuk Sireh, Perlis, baru-baru ini.

Program tersebut melibatkan seramai 29 pelajar kursus berkenaan serta penyertaan aktif 43 murid Tahun Empat yang menunjukkan komitmen dan semangat tinggi sepanjang pelaksanaan aktiviti.

Dengan tema “Stop Buli, Sebar Empati”, program ini memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan khususnya dari aspek akhlak, rohani dan kesedaran sosial.

Pensyarah Penyelaras Program SULAM, Dr. Siti Hajar Salwa Abdul Musadik berkata, fokus utama program adalah untuk meningkatkan kefahaman murid sekolah rendah terhadap isu buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurutnya, pemindahan ilmu berkaitan isu buli dilaksanakan melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh fasilitator dalam kalangan pelajar IBS UUM.

Katanya, setiap kumpulan dibimbing untuk memahami punca, bentuk serta kesan buli melalui perbincangan interaktif dan aktiviti berstruktur.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti serta mendalami isu sosial yang berlaku di persekitaran sekolah.

“Program kesedaran buli merupakan inisiatif yang sangat penting untuk dilaksanakan memandangkan masih terdapat pelajar yang kurang peka dan menganggap perbuatan buli sebagai perkara biasa,” katanya.

Selain itu, murid sekolah turut diberi peluang melibatkan diri dalam lakonan sketsa pendek bertemakan buli bagi membantu mereka mengenal pasti perlakuan yang tergolong sebagai buli serta kesannya terhadap mangsa. Pendekatan ini dilihat berkesan dalam menyampaikan mesej dengan lebih jelas dan mudah difahami.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid sekolah, malah turut membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar universiti.

Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang lebih bertanggungjawab, berempati serta peka terhadap isu sosial, sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan positif.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button