General

Kerjasama generasi senior dan muda pacu kecemerlangan universiti

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

ALOR SETAR, 10 Februari 2026: Kerjasama erat antara warga universiti yang berpengalaman dengan golongan muda perlu diperkukuhkan bagi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melangkah maju dan mencapai hala tuju yang disasarkan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kekuatan orang yang lebih senior amat penting sebagai pembimbing, manakala tenaga dan idea golongan muda pula menjadi pemacu utama ke hadapan.

Menurutnya, gabungan kedua-dua elemen ini disifatkan sebagai kunci kejayaan untuk membawa universiti ke destinasi yang telah dirancang dalam bidang-bidang strategik.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila pencapaian universiti, khususnya dari segi ranking menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain program teras, bidang pendidikan juga mencatat kemajuan walaupun universiti bukan berfokuskan pendidikan sepenuhnya.

“Apabila sesuatu bidang meningkat rankingnya, maka secara keseluruhan nama universiti turut diangkat. Kejayaan ini bukan milik satu kelompok sahaja, tetapi hasil usaha bersama semua warganya daripada kakitangan sokongan hingga ke pengurusan tertinggi,” katanya pada sesi In Person With Prof. Mart sempena Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi UUM di sini, malam tadi.

Pada sesi itu juga, beliau menegaskan bahawa pelajar merupakan antara pemegang taruh terpenting universiti dan perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, warga universiti diingatkan agar sentiasa menghormati antara satu sama lain termasuk pelajar serta pelajar kurang upaya dan bersikap terbuka menerima pandangan serta kritikan demi pembangunan kampus yang lebih mampan.

Selain pelajar, kebajikan pekerja universiti turut menjadi keutamaan. Antaranya menerusi inisiatif menetapkan satu hari tanpa mesyuarat pada setiap bulan bagi memberi ruang kepada staf berehat, berinteraksi dan mengeratkan silaturahim melalui aktiviti kesihatan serta program kebajikan yang dianjurkan universiti.

Beliau menjelaskan, usaha mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif turut melibatkan penambahbaikan peraturan berkaitan kenaikan pangkat, penyelidikan dan penerbitan agar lebih ramai pensyarah serta staf mempunyai peluang dan sokongan untuk berkembang.

Pada masa sama, beliau melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan imej dan reputasi universiti.

Katanya, kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi boleh terhakis sekiranya budaya menyebarkan maklumat tidak sahih dibiarkan berleluasa.

“Universiti dibina hasil pengorbanan dan kerja keras pimpinan terdahulu. Tanggungjawab kita hari ini ialah menjaga nama baik institusi ini dan memastikan ekosistem universiti terus kondusif, harmoni serta berintegriti,” katanya.

Beliau turut menggariskan 12 tujahan UUM yang antaranya memfokuskan keterlihatan ilmuan dan pelajar antarabangsa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara penekanan utama ialah usaha mempertahankan integriti kajian daripada sebarang pengaruh tidak sihat sama ada dari dalam mahupun luar universiti, selari dengan aspirasi menjadikan UUM sebagai institusi berwibawa dan berimpak tinggi.

Dr. Ahmad Martadha melahirkan kebimbangan terhadap kurangnya penglibatan pakar universiti dalam wacana awam walaupun memiliki kepakaran tinggi.

Menurutnya, ilmuan perlu tampil memberikan pandangan dalam media arus perdana dan media sosial berkaitan isu nasional dan global seperti kewangan, undang-undang antarabangsa, perjanjian antara negara, alam sekitar, air, halal dan perbankan Islam.

“Kalau masyarakat tidak tahu kewujudan kita, bagaimana mereka mahu memanggil kita sebagai pakar?” katanya sambil menegaskan penulisan popular dan penglibatan media adalah penting bagi memberi impak nasional bukan sekadar penerbitan akademik semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan pendidikan tinggi, beliau menyentuh perubahan dasar termasuk penempatan Tingkatan Enam dan prauniversiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilihat membuka peluang besar kepada universiti untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan aliran pendidikan tersebut.

Beliau turut menyeru universiti agar lebih proaktif menjalin kerjasama dengan politeknik, khususnya 10 politeknik premier yang bakal menawarkan program ijazah sarjana muda.

Menurutnya, universiti tidak seharusnya menunggu arahan, sebaliknya perlu segera memulakan perbincangan strategik agar tidak ketinggalan berbanding institusi lain.

Beliau berharap semua pusat pengajian melahirkan lebih ramai tokoh ilmuan yang berani tampil ke hadapan, bersuara dan menyumbang kepakaran demi memperkukuhkan peranan universiti dalam pembangunan negara dan jaringan antarabangsa.

Dalam mengejar pencapaian dan ranking, adab merupakan teras kekuatan universiti dan merupakan teras kekuatan sebenar sesebuah tamadun.

Dr. Ahmad Martadha menegaskan bahawa kecemerlangan ilmu tanpa adab boleh membawa kepada keruntuhan nilai dalam masyarakat universiti.

Menurutnya, adab bukan sahaja memperkukuh keilmuan, malah menjadi asas kepada hubungan, interaksi dan budaya kerja yang harmoni dalam organisasi.

“Adab menjadikan kita lebih kuat, bukan sahaja dari segi keilmuan, tetapi juga dalam perhubungan dan interaksi sesama rakan sekerja, pelajar serta pihak luar. Hormat-menghormati perlu dipupuk di semua peringkat sama ada pentadbiran, staf mahupun pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar jaringan kerjasama bersama alumni diperkukuhkan. UUM kini mempunyai lebih 170,000 alumni di dalam dan luar negara yang berpotensi besar untuk menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan, kepakaran mahupun peluang strategik.

“Pusat-pusat pengajian perlu lebih proaktif mendekati alumni masing-masing. Ramai dalam kalangan mereka memegang jawatan penting dan mampu membantu universiti melalui cadangan, kerjasama program serta jaringan industri,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi strategik dengan industri dan institusi antarabangsa, termasuk menyediakan peluang latihan industri di luar negara kepada pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Selain itu, menyentuh keperluan memaksimumkan penggunaan fasiliti universiti, memperkukuhkan penerbitan akademik bertaraf antarabangsa serta mengamalkan pendekatan lebih fleksibel dalam pengagihan tugas pensyarah berdasarkan kekuatan masing-masing.

“Pendekatan yang adaptif dan tidak terlalu kaku amat penting dalam memastikan UUM terus relevan, mampan dan cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Sesi beliau diakhiri dengan sesi soal jawab dengan penjawat universiti yang hadir selama tiga hari ke Karisma Pemikir Madani.

Diikuti, penyampaian watikah pelantikan kepada 95 timbalan dekan dan timbalan pengarah universiti, seterusnya bacaan lafaz ikrar yang diketuai Dr. Syamsul Hirdi Muhid.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button