Bengkel Pemantapan Kurikulum BHalal perkasa pembelajaran dan pentaksiran
Berita dan gambar Dr. Hawwa Abdul Mokti
SINTOK, 22 Februari 2026: Bengkel Pemantapan Pembinaan CLO: Tugasan dan Rubrik Penilaian telah diadakan di Bilik Mesyuarat FWD IBS, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dipengerusikan oleh Dr. Hawwa Abdul Mokti dan disertai oleh barisan pensyarah Program Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal).
Dr. Hawwa berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman pensyarah berkaitan pembinaan Course Learning Outcomes (CLO) serta penyediaan tugasan dan pembangunan rubrik penilaian selaras dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, keperluan bengkel ini diadakan bagi memantapkan kemahiran barisan pensyarah BHalal untuk persiapan akreditasi penuh program BHalal pada semester akan datang.
Taklimat telah disampaikan oleh Pengurus Pusat Perancangan dan Kecemerlangan Akademik (CAEP), Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff yang menjelaskan hubungan antara Programme Educational Objectives (PEO), Programme Learning Outcomes (PLO) dan CLO, di samping menekankan prinsip constructive alignment antara hasil pembelajaran, kaedah pengajaran dan pentaksiran.
Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pemilihan kata kerja yang tepat berdasarkan domain pembelajaran Malaysian Qualifications Framework (MQF) 2.0, pembinaan CLO yang spesifik dan boleh diukur, serta cadangan penyediaan tiga hingga empat CLO bagi setiap kursus dengan amalan satu CLO bagi satu pentaksiran untuk memastikan ketepatan penilaian.
Turut memberikan pandangan ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof yang menegaskan bahawa bengkel seperti ini amat penting dalam memastikan semua kursus diselaraskan lebih awal mengikut keperluan standard akreditasi.

Menurutnya, pemantapan awal ini dapat meminimumkan pembetulan dan teguran semasa proses akreditasi penuh kelak, sekali gus memperkemaskan dokumentasi dan eviden yang diperlukan.
Katanya, bengkel ini dapat memberi kemahiran dan ilmu yang tepat kepada barisan pensyarah halal, khususnya dalam aspek pembinaan CLO dan pentaksiran yang lebih sistematik, selaras dengan standard akademik dan keperluan industri.
Sepanjang bengkel, perbincangan turut memfokuskan kepada keperluan menyemak kesepadanan kaedah pengajaran dan pentaksiran, penambahbaikan perkataan dalam CLO bagi meningkatkan kejelasan hasil pembelajaran, serta kepentingan Scheme of Work (SoW) sebagai dokumen rasmi perancangan pengajaran dan pentaksiran sepanjang semester.



