Campus

Santunan Kasih Ramadan GSGSG semai nilai kebersamaan, kesyukuran dan keharmonian

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 16 Mac 2026: Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) telah menganjurkan Majlis Santunan Kasih Ramadan GSGSG 2026 pada 11 Mac lalu yang dihadiri oleh pelajar pascasiswazah dan penjawat utama UUM COLGIS bertempat di Dewan Sri Angsana EDC-UUM.

Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, Majlis Santunan Kasih Ramadan 2026 ini merupakan platform kerohanian yang signifikan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pengurusan universiti, staf dan pelajar pascasiswazah khususnya di bawah UUM COLGIS.

Menurutnya, penganjuran majlis ini mampu menyemai nilai kebersamaan, kesyukuran dan keharmonian dalam komuniti kampus.

Penganjuran program berbentuk University Sosial Responsibility (USR) yang digabungkan dengan program Majlis Santunan Kasih Ramadan 2026 ini dilihat sebagai satu pendekatan holistik yang bukan sahaja memenuhi tuntutan kerohanian warga universiti, malah menyokong pelaksanaan KPI universiti melalui aktiviti khidmat masyarakat seperti pemberian sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada para asnaf Daerah Laka Temin dan staf UNIUTAMA Property Sdn. Bhd. (UPSB).

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed turut hadir memeriahkan majlis ini bagi menyampaikan sumbangan kepada asnaf Daerah Laka Temin dan staf UPSB yang berkhidmat di UUM COLGIS.

Sebelum itu, hampir 180 tetamu mendengar sesi Tazkirah Ramadan bertajuk ”Memburu 1000 Bulan di 10 Malam Terakhir Ramadan” oleh penceramah jemputan, Zar Ei Zakaria, Pegawai Tadbir Kanan Pusat Islam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani serta Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab. – Nurul Hamiza Hamzah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button