Campus

Majlis santunan kasih ramadan GSGSG 2026: Mengeratkan ukhwah bersama

Gambar oleh: Jabatan Komunikasi Korporat

SINTOK, 11 Mac 2026: Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) telah menganjurkan Majlis Santunan Kasih Ramadan GSGSG 2026 yang dihadiri oleh pelajar pascasiswazah dan penjawat utama UUM COLGIS bertempat di Dewan Sri Angsana EDC-UUM.

Majlis Santunan Kasih Ramadan 2026 ini merupakan platform kerohanian yang signifikan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pengurusan universiti, staf dan pelajar pascasiswazah khususnya di bawah UUM COLGIS. Penganjuran majlis ini mampu menyemai nilai kebersamaan, kesyukuran dan keharmonian dalam komuniti kampus.

Penganjuran program berbentuk University Sosial Responsibility (USR) yang digabungkan dengan program Majlis Santunan Kasih Ramadan 2026 ini dilihat sebagai satu pendekatan holistik yang bukan sahaja memenuhi tuntutan kerohanian warga universiti, malah menyokong pelaksanaan KPI universiti melalui aktiviti khidmat masyarakat seperti pemberian sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada para asnaf Daerah Laka Temin dan staf UNIUTAMA Property Sdn. Bhd. (UPSB).

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed telah sudi hadir bagi memeriahkan majlis ini. Beliau dijemput sebagai tetamu kehormat bagi menyampaikan sumbangan kepada asnaf Daerah Laka Temin dan staf UPSB yang berkhidmat di UUM COLGIS.

Hampir 180 orang tetamu mendengar sesi Tazkirah Ramadan bertajuk ”Memburu 1000 Bulan di 10 Malam Terakhir Ramadan” oleh penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Zar Ei bin Zakaria, Pegawai Tadbir Kanan Pusat Islam sebelum mereka menikmati juadah istimewa yang disajikan.

Turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis adalah Prof. Dr. Mohd. Azizuddin bin Mohd Sani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Prof. Dr. Harlida binti Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SOL).  – Nurul Hamiza binti Hamzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button