Gambar Prof. Madya Ts Dr. Juliana Aida Abu Bakar
SEPANYOL, 4 Disember 2024: Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hasbullah Omar telah menjalani mobiliti staf akademik di bawah inisiatif Erasmus+ KA171 – Mobility for Teaching Staff di University of Alicante (UA), Sepanyol selama lima hari mulai 18 November lalu.
Program ini mendapat tajaan daripada Kesatuan Eropah dan merupakan salah satu perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara Universiti Utara Malaysia dengan University of Alicante (UA) di mana staf akademik yang menjadi hos di UA adalah Prof. Dr. Segio Molina-Palacios dari Faculty of Science, UA.
Semasa program ini berlangsung, lawatan dan perjumpaan bersama pelajar pascasiswazah Faculty of Science, UA dan juga staf akademik di fakulti tersebut telah diadakan.
Dr. Mohd Hasbullah juga telah memberikan satu pengisian bertajuk “Collaborative Communication Network Architecture for Effective Flood Disaster Management” yang merupakan sebahagian daripada penyelidikan geran Long-Term Research Grant Scheme (LRGS) yang dijalankan pada tahun 2012 hingga 2016. Pengisian tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah berikutan Sepanyol telah menyaksikan peristiwa banjir terburuk di daerah Valencia.
Program ini juga memberi peluang kepada SOC untuk mendapat maklum balas secara langsung daripada pelajar prasiswazah program Sarjana Muda Sains Komputer, Tuan Hanis Naisha Tuan Zaimi yang sedang mengikuti mobiliti berkredit di UA.
Beliau juga mendapat pembiayaan daripada Kesatuan Eropah untuk menjalani mobiliti berkredit di sana.
Program ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi memberi peluang staf akademik untuk berkongsi hasil penyelidikan yang dijalankan dan mencari peluang baharu untuk geran antarabangsa. Pelajar prasiswazah juga mendapat pengalaman pembelajaran yang berlainan di Sepanyol. – Prof. Madya Ts Dr. Mohd Hasbullah Omar