25 pelajar KSU Jepun terima pendedahan tentang budaya Malaysia
Gambar Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh
SINTOK, 10 Mac 2026: Seramai 25 pelajar dari Kyoto Sangyo University (KSU), Jepun berpeluang mengikuti sesi pembelajaran bertemakan kepelbagaian budaya apabila menyertai kelas “Lesson Diversity” yang dianjurkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena program musim panas yang berlangsung di kampus ini.

Sesi tersebut memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa mengenai budaya Malaysia melalui aktiviti kreatif membina lirik lagu dan melodi bertemakan budaya Malaysia. Pendekatan ini bertujuan memperkenalkan elemen budaya tempatan secara interaktif serta menggalakkan pemahaman silang budaya antara Malaysia dan Jepun.
Sepanjang sesi berlangsung, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menghasilkan lirik lagu yang menggambarkan identiti Malaysia seperti keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan nilai masyarakat tempatan, di samping mencipta melodi ringkas bagi melengkapkan lagu tersebut.

Pensyarah, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh berkata, aktiviti kreatif seperti ini membantu pelajar memahami budaya Malaysia dengan lebih mendalam serta menggalakkan interaksi dalam kalangan pelajar dari latar belakang berbeza.
Sementara itu, Pensyarah Kanan STML, Dr. Nooraini Ismail berkata, aktiviti tersebut turut menerapkan elemen kreativiti dan kelestarian apabila pelajar menggunakan bahan terpakai sebagai alat muzik untuk menghasilkan rentak dan irama bagi melengkapkan melodi lagu yang dicipta.
Program ini sekali gus menjadi platform untuk memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara UUM dan Kyoto Sangyo University serta memberi pengalaman pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar antarabangsa. – Dr. Nooraini Ismail



