Campus

AES2025 perkukuh wacana ilmu ekonomi dan kewangan, himpun 63 kertas kerja

Gambar Muhamad Syazwi Sholihin

SINTOK, 19 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sekali lagi menganjurkan 10th Annual Economics and Finance Symposium (AES2025) bertempat di EDC-UUM.

Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, simposium ini terus menjadi platform ilmiah berprestij yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal industri untuk memperhalusi isu-isu kritikal dalam ekonomi dan kewangan.

Sejajar dengan tema tahun ini, “Ekonomi Mampan dan Inklusiviti Kewangan,” AES2025 menyediakan ruang wacana dan perkongsian strategik yang menyokong hala tuju pembangunan ekonomi negara.

Sejak mula dianjurkan pada 2014, AES berkembang sebagai wadah utama UUM dalam memperkukuh budaya penyelidikan serta menggalakkan kerjasama merentasi institusi. Kolaborasi strategik antara ECOFI dan InsPeK pada tahun ini turut memperluas jaringan ilmiah serta membuka peluang baharu kepada penyelidik untuk membina kerjasama jangka panjang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), SEFB, Dr. Diara Md. Jadi,  yang mewakili Dekan SEFB.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen universiti untuk memacu penyelidikan yang dapat menyumbang kepada penggubalan dasar awam, selari aspirasi Ekonomi MADANI dan persediaan negara menuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Simposium turut menampilkan ucaptama bertajuk “Pengurusan Kemiskinan di Masa Hadapan” oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Beliau membentangkan dapatan kajian berkaitan dinamik baharu kemiskinan, cabaran demografi, perubahan struktur ekonomi serta keperluan intervensi berasaskan data dan kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, pengurusan kemiskinan masa hadapan menuntut pendekatan inovatif, merentas disiplin dan berasaskan bukti.

AES2025 juga dihadiri Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Ekonomi, Noraini Ahmad, mewakili Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed.

Beliau memberi penerangan komprehensif mengenai kerangka RMK13 (2026–2030) yang menekankan pertumbuhan inklusif, pemerkasaan teknologi, kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi jangka panjang.

Majlis turut dihadiri peserta dari UUM, UMK dan 27 pusat tanggungjawab (PTJ) UUM.

Tahun ini, sebanyak 63 kertas kerja dihimpunkan melalui penganjuran AES2025, dan 54 daripadanya diterbitkan dalam prosiding. Simposium menyaksikan pembentangan oleh 54 penyelidik dari UUM, UMK dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui tiga sesi selari yang merangkumi pelbagai subtema strategik. Antaranya ialah Pembangunan Mampan dan Alam Sekitar, Sistem Kewangan, Akses dan Peraturan, Perdagangan Antarabangsa dan Kewangan, Pembangunan Korporat dan Perindustrian, Kemiskinan, Ketaksamaan dan Dasar Sosial serta isu-isu semasa berkaitan pembangunan ekonomi negara.

Simposium turut diserikan kehadiran tokoh akademik termasuk Pengarah ECOFI, Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin; Pengerusi AES2025, Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat; Prof. Dr. Mukaramah Harun, wakil Majlis Profesor UUM; serta Profesor Ekonomi SEFB, Prof. Dr. Russayani Ismail.

Kehadiran mereka mengukuhkan peranan AES sebagai platform wacana ilmiah berimpak tinggi serta menzahirkan komitmen UUM dalam memperkasa penyelidikan ekonomi dan kewangan demi pembangunan negara. – Noor Sa’adah Sabudin

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button