Bengkel Pemantapan Pelan Strategik 2025 perkukuh hala tuju SAPSP
Gambar SAPSP
SINTOK, 10 Mac 2025: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Pelan Strategik 2025 di EDC UUM, baru-baru ini.
Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, bengkel ini bertujuan untuk menilai semula, memperkukuh, dan menyelaraskan hala tuju strategik pusat pengajian bagi tahun 2025.
Menurutnya, bengkel ini adalah platform yang amat penting bagi memastikan visi, misi, dan objektif SAPSP tetap relevan dengan perkembangan semasa dan cabaran masa depan.
Beliau juga menekankan betapa pentingnya penyelarasan strategi untuk memperkukuhkan kedudukan SAPSP sebagai peneraju dalam bidang psikologi gunaan, dasar sosial, dan kerja sosial, serta untuk terus memenuhi keperluan industri dan masyarakat.
Bengkel ini disertai oleh semua pengerusi jawatankuasa yang diwujudkan di SAPSP bagi merangka pelan tindakan melibatkan perbincangan yang bernas serta penjanaan idea-idea inovatif, yang membawa manfaat besar kepada pembangunan akademik dan penyelidikan di SAPSP.
Bengkel tersebut memfokuskan kepada perbincangan dalam menilai pencapaian semasa, mengenal pasti cabaran yang dihadapi, serta merangka strategi dan inisiatif baharu yang dapat memastikan kemajuan dan pertumbuhan mampan pusat pengajian.
Antaranya isu peningkatan daya saing akademik bagi memastikan kualiti pendidikan yang tinggi dan relevansi program pengajian dengan keperluan industri semasa.
Kebolehpasaran graduan bagi meningkatkan kesiapsiagaan graduan dalam pasaran kerja melalui kemahiran tambahan dan program praktikal turut dibincangkan. Isu mengukuhkan jaringan antarabangsa melalui kerjasama global dalam penyelidikan dan pendidikan turut diberi perhatian dalam bengkel tersebut.
Pelan tindakan yang dihasilkan dalam bengkel ini akan menjadi panduan utama dalam melaksanakan inisiatif SAPSP sepanjang tahun 2025. – Omar Ibrahim