Bengkel Penerbitan SLR Pusat Pengajian Pendidikan terima sambutan luar biasa
Berita dan gambar Dr. Norasyikin Mohaiyuddin
SINTOK, 17 Julai 2025: Bengkel Penerbitan Systematic Literature Review (SLR) anjuran Jawatankuasa Penerbitan, Pusat Pengajian Pendidikan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 115 peserta, terdiri daripada kalangan pensyarah dan pelajar pascasiswazah pusat tersebut.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain, yang turut menzahirkan penghargaan atas usaha jawatankuasa dalam memperkasa budaya penulisan dan penerbitan ilmiah dalam kalangan warga akademik.
Bengkel ini menampilkan penceramah undangan, Dr. Hayrol Azril Mohamed dari Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berkongsi kepakaran beliau.
Beliau berkongsi tentang Teknik Penulisan Artikel SLR Mengikut Piawaian Terkini, merangkumi pendekatan berstruktur dan berstrategi dalam menghasilkan kajian literatur sistematik yang berkualiti tinggi serta Strategi Menerbitkan Artikel di Jurnal Berimpak Tinggi, dengan fokus kepada jurnal terindeks Scopus dan Web of Science (WoS), termasuk aspek pemilihan jurnal, penyesuaian manuskrip, serta penulisan bahagian penting seperti abstrak dan metodologi.
Peserta, Mohd Zulhilmi Haron berkata, bengkel ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran praktikal, malah meningkatkan keyakinan dalam menerbitkan hasil penyelidikan di jurnal berindeks Scopus dan WOS.
“Penyampaian Dr. Hayrol sangat jelas dan ‘straight to the point’. Banyak ilmu yang sebelum ini kami anggap rumit, berjaya difahami dalam masa singkat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Jawatankuasa Penerbitan, Dr. Norasyikin Mohaiyuddin berkata, bengkel ini dilihat sebagai salah satu inisiatif penting dalam usaha Pusat Pengajian Pendidikan untuk menyokong agenda peningkatan kualiti penerbitan ilmiah serta melonjakkan pencapaian penerbitan warga akademik ke peringkat global.