Bengkel Sistem Audio perkasa kemahiran staf UUM
Berita dan gambar Zunaida Bahadur
SINTOK, 11 Februari 2026: Jawatankuasa Pengurusan Kebudayaan Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam memperkasakan kemahiran staf apabila menganjurkan Bengkel Sistem Audio di Dewan Budi Siswa, baru-baru ini.
Pengarah Program, Muhammad Ezzuan Kamarul Zaman berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pengendalian peralatan audio serta meningkatkan kecekapan teknikal bagi menyokong kelancaran penganjuran acara universiti.

Menurutnya, penganjuran bengkel ini bukan sahaja membuka ruang kepada staf untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah berperanan dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih versatil, kompeten dan berdaya saing.
“Penguasaan kemahiran tambahan seperti sistem audio mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan staf dalam menyokong pelaksanaan program universiti secara lebih profesional, sekali gus memperkukuh budaya kecemerlangan dan pembelajaran berterusan dalam kalangan warga UUM,” katanya.
Bengkel yang dikendalikan oleh jurutera audio bebas, Ahmad Firdaus Ibrahim mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus merangkumi staf akademik dan pengurusan.
Peserta didedahkan dengan pengetahuan teori serta latihan praktikal agar lebih bersedia menghadapi keperluan teknikal semasa program rasmi mahupun aktiviti universiti.

Peserta, Mohd Fadzlul Naim Md Tayib yang merupakan Penolong Jurutera Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur berkata, walaupun bidang sistem audio mempunyai kaitan dengan tugas hakikinya yang melibatkan aspek teknikal dan sokongan infrastruktur, dia tetap mengambil peluang menyertai bengkel ini bagi menimba ilmu baharu serta menambah baik kemahiran sedia ada.
Menurutnya, pendedahan berterusan terhadap teknologi dan kaedah kerja terkini amat penting bagi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sekali gus menyokong kelancaran operasi serta penganjuran program di universiti.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta daripada kalangan akademik dan pengurusan atas sokongan serta komitmen yang diberikan. Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi platform pembangunan profesional staf selaras dengan aspirasi kecemerlangan UUM.



