Campus

Graduan wanita berpotensi berjaya dalam kerjaya

SINTOK, 12 November 2024 – Dewasa ini wanita memainkan peranan penting dalam arus pembangunan serta mampu mengharungi cabaran dunia masa kini dan trend ini dijangka terus meningkat.

Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah bertitah, sebanyak 67 peratus graduan pada kali ini terdiri daripada golongan wanita, dan  70 peratus daripada kemasukan pelajar baru tahun ini juga daripada golongan wanita.

“Inilah bukti kepentingan peranan golongan wanita pada masa depan dalam sektor korporat dan sektor awam, khususnya dalam kapasiti pengurusan tertinggi dan juga sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

“Pemilik syarikat Ali Baba, Jack Ma, pernah berkata, ‘one of the secret sauce of Alibaba’s success is that we have a lot of women.  If you want your company to operate with wisdom and care, then women are best’.

“Jack Ma macam tahu keadaan kita sekarang.Ini bukan masalah tetapi peluang. Sekarang ini semakin ramai telah sedar betapa perlunya keseimbangan gender dalam kepimpinan organisasi di Malaysia,” titahnya pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-37, di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Tuanku Pro-Canselor bertitah, penglibatan wanita dalam lembaga pengarah syarikat dan pengurusan tertinggi, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta sudah mencapai 40 peratus dan akan terus meningkat.

“Kepada graduan wanita pada tahun ini, masa depan anda sangat cerah dan saya harap kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya juga dimaklumkan, dalam tiga orang Timbalan Naib Canselor, Profesor Dr Russayani Ismail sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menjadi salah seorang yang mewakili wanita,” titahnya.

Selain itu  Tunku Mahkota Kedah  menekankan kepentingan menguasai lebih daripada satu bahasa yang menjadi jambatan kepada kemajuan diri.

“Dalam dunia global, wujudnya kepentingan untuk kita menguasai bahasa antarabangsa, bukan sahaja Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab juga perlu diberikan perhatian. dalam dunia profesional yang akan dihadapi oleh para graduan.

“Sebagai graduan UUM, teruskan usaha untuk menguasi bahasa-bahasa antarabangsa, serta tingkatkan kemahiran berkomunikasi yang boleh membawa nilai tambah kepada kemajuan diri para graduan.

“Selari dengan era globalisasi pada masa kini, anda harus sentiasa mengasah kemahiran dan menimba ilmu baru agar dapat terus kekal relevan dan kompetitif,” titahnya.

Tunku Mahkota Kedah turut menyampaikan ijazah kepada seramai 791 graduan Ijazah Sarjana di bawah UUM College of Law, Government and International Studies, graduan Diploma Pasca – Siswazah dan graduan Ijazah Sarjana Muda di bawah UUM College of Arts and Sciences.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button