Individu korporat santuni 30 pelajar asnaf UUM dengan sumbangan zakat bernilai RM15,000
Gambar Syamimi Sufyan
SINTOK, 24 Julai 2025: Seramai 30 pelajar asnaf dari Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima manfaat daripada agihan zakat berjumlah RM15,000 yang disumbangkan oleh seorang individu sektor korporat.
Inisiatif murni individu terbabit untuk melunaskan zakat terus kepada pelajar asnaf ini bertujuan meringankan beban kewangan mereka, selain dapat membantu pelajar keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi pembayar zakat (muzakki) apabila tamat pengajian kelak.
Majlis penyerahan zakat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil.
Dr. Bidayatul berkata, sumbangan zakat seperti ini bukan sahaja membantu mereka untuk meneruskan pengajian, malah memberi inspirasi agar suatu hari nanti mereka juga dapat berbakti kepada masyarakat dan menyumbang kembali.
Menurutnya, kehadiran wakil-wakil pengurusan universiti ini menunjukkan sokongan padu terhadap usaha membantu golongan pelajar yang memerlukan.
“Pelajar yang menerima sumbangan ini melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan individu pembayar zakat tersebut.
“Bantuan ini dijangka dapat dimanfaatkan untuk keperluan pengajian dan sara hidup harian, justeru membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa memikirkan masalah kewangan,” katanya.
UUM amat mengalu-alukan inisiatif seumpama ini dan berharap lebih ramai lagi individu atau organisasi tampil menyalurkan bantuan kepada pelajar asnaf yang memerlukan.
Turut hadir adalah Pengetua Inasis Bank Islam, Dr. Adi Syahid Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi. – Hasniza Norsazali