IPDM, IPIZ dan CUIC meneroka, mempelajari dan melestarikan alam
Gambar Noor Azizah Ismail
SINTOK, 23 Julai 2025: Aktiviti kecergasan dan kesihatan merupakan antara pendekatan terbaik dalam memperkukuh kesejahteraan fizikal dan mental dalam kalangan warga kerja Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagi menyemarakkan budaya hidup sihat di UUM, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), telah menganjurkan program santai namun berimpak iaitu Eksplorasi Hutan Simpan Utara UUM.
Pengarah Projek, Mohammad Taufiq Othman berkata, mereka telah berjaya sampai ke tempat yang dituju iaitu di Tembok Sempadan Malaysia-Thai dan juga Air Terjun Sintok di mana tidak semua warga UUM pernah sampai.
“Saya sendiri tidak menduga dan tidak pernah sampai iaitu Puncak Bukit / Permatang Berangin pada ketinggian 205 meter dalam kawasan Hutan Simpan Utara UUM.
“Kita semua berjaya tempuhi dan harungi cabaran dengan jayanya. Insya Allah jika ada peluang harapnya kita dapat bekerjasama lagi dalam menjayakan program dan aktiviti jabatan. Tahniah kepada semua peserta yang telah menyertai aktiviti eksplorasi ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IPDM, Prof. Dr Ariffin Abdul Mutalib melahirkan rasa teruja dengan aktiviti ini.
Menurutnya, program tersebut berjaya mengumpulkan hampir 40 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai stamina yang kuat dan cekal mengharungi liku-liku perjalanan sepanjang pendakian ke Bukit Berangin sehingga bertemu dengan lokasi air terjun.
“Kita bersyukur ke hadrat Allah, aktiviti trekking kita menjadi mudah dengan cuaca yang baik, dan bebas serangan pacat, Alhamdulillah”.
Menurut Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, “Alhamdulillah, kami gembira menyertai program seperti ini. Terima kasih atas inisiatif dan usaha menganjurkan eksplorasi yang begitu bermakna.
“Lokasi-lokasi yang dilawati bukan sahaja bermakna utk negara dan UUM, dengan tembok sempadan, air terjun yg menarik, malah penuh kejutan! Permatang Berangin tu juga memang luar biasa, tak sangka dapat juga jejak kaki di situ dalam usia sebegini,” katanya.
Program ini dianjurkan untuk mencapai objektif antaranya termasuklah meningkatkan tahap kecergasan dan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan staf UUM, menerapkan nilai-nilai kerjasama dan semangat berpasukan melalui aktiviti luar, meningkatkan apresiasi terhadap alam semula jadi sekitar UUM, dan memberi ruang rekreasi dan rehat minda daripada bebanan tugas harian.
Pihak penganjur merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Penolong Pemelihara Hutan, Amran Mahmud, dan anggotanya, pasukan pemandu arah, Unit Pertanian Landskap Perhutanan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan infrastruktur (JPPI) UUM. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin