Campus

IPIZ anjur Program Komuniti Resonansi Merdeka bersama asnaf Kubang Pasu

Gambar Ahmad Khalidi Abdul Halim

SINTOK, 3 September 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berjaya mengadakan Program Komuniti Resonansi Merdeka bersama 40 peserta asnaf dari sekitar kawasan Kubang Pasu di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen UUM dengan penglibatan pelbagai pihak bagi memperkukuhkan kesejahteraan komuniti asnaf khususnya golongan mualaf.

Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Solahuddin Abdul Hamid yang merupakan Felo IPIZ, dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan sarapan, diikuti ketibaan tetamu jemputan.

Dr. Solahuddin berkata, program Komuniti Resonansi Merdeka ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada golongan asnaf, khususnya mualaf, dalam membina keyakinan diri dan mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka.

Menurutnya, IPIZ komited untuk terus menjadi platform penyelidikan dan inovasi zakat yang menyokong pembangunan komuniti melalui pendekatan holistik dan bersepadu.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa, zikir Asmaul Husna, dan nyanyian lagu Negaraku serta lagu “Biru Warna”, seterusnya, tayangan video korporat UUM dipersembahkan sebagai pengenalan rasmi program.

Ucapan pembukaan oleh Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, menekankan komitmen institut dalam menyokong golongan asnaf dan memperkukuh nilai kemerdekaan dari segi spiritual dan ekonomi.

Program disempurnakan oleh Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Muhammad Mustafa. Turut dipersembahkan ialah tayangan video korporat LZNK dan Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah (PKPK), diikuti deklamasi sajak oleh Habsah Omar mewakili PKPK.

Sesi forum pertama bertajuk “Islam Agama Merdeka” dikendalikan oleh Dr. Solahuddin menampilkan  panel terdiri daripada Muhammad Ridhuan Bos  Abdullah dari SEFB dan Muhammad Firdaus Mukhriz Abdullah, pelajar mualaf dari UniSHAMS, yang berkongsi pengalaman dan perspektif mereka mengenai kemerdekaan dalam konteks Islam.

Forum kedua bertajuk “Merdeka Diri Merdeka Rezeki: Cabaran dan Harapan Mualaf” bersama moderator, Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim, Felo IPIZ, manakala panel ialah Habsah Omar (PKPK) dan Dr. Norazlina Zakaria (Felo IPIZ).

Forum ini membincangkan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh golongan mualaf dalam mencapai kemerdekaan diri dan ekonomi serta harapan masa depan mereka dengan sokongan komuniti dan institusi.

Majlis diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan kepada peserta asnaf mualaf, sesi bergambar, dan tayangan montaj.

Program ini selaras dengan visi UUM untuk menerajui agenda pembangunan masyarakat melalui penyelidikan inovatif yang menyokong keperluan golongan kurang bernasib baik serta memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, badan zakat, dan pertubuhan kebajikan. – Nik Fauziliana Mohd Tamizi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button