Campus

Kayuhan Keris STML Merdeka 2025 semarakkan sambutan Kemerdekaan Ke-68

Berita dan gambar Salina Ali

SINTOK, 27 Ogos 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Kayuhan Keris STML Merdeka 2025 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68.

Seramai 20 warga STML yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran telah menyertai program tersebut di mana aktiviti kayuhan yang dirangka menyerupai bentuk keris ini melambangkan semangat perjuangan, perpaduan, dan jati diri bangsa yang menjadi teras kepada kemerdekaan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sukan STML, Log. Dr. Ezanee Mohamed Elias berkata, penganjuran kayuhan ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga universiti, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan silaturahim sesama staf.

“Kayuhan keris ini menjadi simbolik kepada keteguhan semangat anak bangsa mempertahankan tanah air.

“Semoga usaha kecil ini dapat memberi impak besar dalam menyemai semangat cinta negara dalam kalangan warga STML,” katanya.

Beliau berkata, kayuhan ini juga mempunyai signifikan tersendiri dengan identiti UUM yang dibina berlandskap berbentuk keris.

Menurutnya, dari pandangan udara, susun atur bangunan, tasik dan jalan di kampus Sintok membentuk simbol keris yang menjadi lambang kekuatan, keberanian serta jati diri bangsa. Justeru, pelaksanaan aktiviti kayuhan berbentuk keris ini bukan sahaja meraikan semangat kemerdekaan, malah mengangkat nilai warisan dan identiti UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka negara.

Program ini mencerminkan komitmen STML dalam mendukung aspirasi universiti untuk melahirkan warga kampus yang seimbang dari aspek intelektual, emosi dan fizikal, di samping memperkukuh nilai patriotisme sebagai warga Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button