Kibaran Jalur Gemilang warnai Program Genstem STI 100³ Sempena Bulan Kebangsaan
Gambar Mohd Saiful Adli Mohamad
SINTOK, 21 Ogos 2025: Seramai 77 murid Tahap 2 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Budriah bersama 10 guru pengiring, telah menyertai Program GenSTEM STI 100³ di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program yang berfokus kepada aktiviti interaktif ini memberi peluang kepada murid untuk mendalami konsep kebolehjadian melalui permainan menyeronokkan.
Permainan “Dadu Kebolehjadian: Pilih, Golek, Hitung – Mana Satu Kena?” yang telah dijalankan selama dua jam berjaya menarik minat murid untuk memahami asas matematik secara praktikal dan kreatif.
Guru juga berpeluang merasai sendiri pengalaman bermain produk pembelajaran matematik hasil inovasi pensyarah SQS, Dr. Shanizan Herman Mohd Radzi iaitu Ace of Math, sepanjang aktiviti ini sedang berjalan.
Majlis turut dihadiri Guru Besar, Che Aziz Ismail, yang menekankan kepentingan STEM dalam kehidupan serta harapan agar penglibatan dalam program ini dapat meningkatkan prestasi matematik murid-murid SK Raja Perempuan Budriah.
Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SQS, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman, yang menyatakan rasa gembira atas kejayaan penganjuran program ini, di samping menzahirkan harapan agar murid-murid dapat mengaplikasikan ilmu STEM dalam kehidupan seharian.
Dr. Syariza juga telah merasmikan penutupan program ini yang berjaya dianjurkan bermula daripada Julai 2025.
Majlis turut disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang serta nyanyian lagu ‘Malaysia’ oleh murid-murid, guru-guru, dan pensyarah sebagai tanda semangat patriotisme sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Selain itu, guru dan murid turut berpeluang mengikuti lawatan ilmiah ke beberapa lokasi ikonik di UUM seperti Anjung Tamu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Muzium Pengurusan, serta Varsity Mall, selain menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Sultan Badlishah bagi menambah nilai kerohanian dalam pengisian program.
Penganjuran program ini jelas membuktikan bahawa pembelajaran STEM boleh disampaikan secara menyeronokkan dan bermakna, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi muda yang celik sains dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. – Mohd Saiful Adli Mohamad