“Langkah Cergas, Jiwa Merdeka”, brisk walk JKK rai semangat kemerdekaan
Gambar Ku Ahmad Hafiz Ku Nayan dan Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)
SINTOK, 20 Ogos 2025: Jabatan Komunikasi Korporat (JKK), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan program brisk walk “Langkah Cergas, Jiwa Merdeka” bagi meraikan semangat kemerdekaan, semalam.
Program tersebut diketuai oleh Penerbit Rancangan, Ku Ahmad Hafiz Ku Nayan dan disertai Pengarah, Kori Ariff dan staf jabatan berkenaan.
Ku Ahmad Hafiz berkata, selain memupuk semangat cintakan negara, inisiatif ini bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja.
Sepanjang program, peserta berjalan kaki sejauh lima kilometer merentasi sebahagian kawasan kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik.
Aktiviti ini turut memberi peluang kepada peserta untuk menikmati pelbagai kemudahan dan tarikan yang disediakan pihak universiti seperti Taman Kaktus, Taman Botani dan lain-lain lokasi menarik.
“Program seumpama ini bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah mampu mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara staf selepas sama-sama bertungkus-lumus menjalankan tugas kepada universiti.
“Saya berharap JKK dapat memperbanyakkan lagi program seperti ini pada masa akan datang bagi membantu mereka meningkatkan prestasi kerja, di samping memastikan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya (work-life balance),” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir, Umi Kalsum Othman berkata, kesibukan menjalankan tugas hakiki sering kali menyebabkan jabatan tidak dapat menganjurkan program seperti ini.
Menurutnya, brisk walk kali ini akhirnya dapat dilaksanakan apabila masing-masing tiada tugasan pada hari tersebut.
Katanya, dia berharap program ini wajar diteruskan lagi pada masa hadapan sekurang-kurang sebulan sekali kerana memberi peluang kepada staf untuk menyemai rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia, khususnya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, selain membentuk individu yang sihat dan cergas.
Seramai 15 staf JKK telah menyertai program tersebut yang bermula dari Dataran Perdana menuju ke Varsity Mall, diikuti laluan pejalan kaki di Inapan Siswa Petronas hingga ke Dewan Mu’adzam Shah, seterusnya menuju ke Taman Botani sebelum berakhir di Bangunan Canselori. – Abdul Amar Aris