Langkah Merdeka Bersama PPKKG warnai sambutan Bulan Kemerdekaan UUM
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 20 Ogos 2025: Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Langkah Merdeka Bersama PPKKG yang berlangsung sekitar kampus UUM, semalam.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu disertai oleh kakitangan PPKKG, dengan penuh semangat patriotisme.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, malah sebagai usaha memperkukuhkan jati diri warga PPKKG agar terus menghargai pengorbanan pejuang terdahulu.
Menurutnya, peserta berarak sambil mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus mencerminkan semangat cintakan tanah air dan penghargaan terhadap perjuangan kemerdekaan negara.
Selain berarak mengelilingi kawasan kampus, program ini turut menjadi wadah untuk memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan rasa syukur dan bangga terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi.
Dr. Fikriyah berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu platform untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan staf PPKKG. – Anis Zulaikha Kamal