Campus

Latih tubuh, asah jiwa: Program Rejimental kembali kukuhkan jati diri warga UUM

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 6 Ogos 2025: “Dalam mana-mana organisasi, kejayaan tidak mungkin dicapai secara bersendirian. Hanya melalui semangat satu pasukan, kita mampu melangkah lebih jauh”.

Itulah pesanan penuh makna oleh Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Rasidi Abdullah ketika menutup tirai Program Rejimental Staf 2025 di Markas PALAPES UUM, semalam.

Menurutnya, semangat kebersamaan dan kerjasama adalah kunci untuk menggerakkan organisasi ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, program rejimental ini dilihat sebagai wadah terbaik untuk membina disiplin, ketahanan mental dan fizikal, serta memperkukuh jati diri warga kerja universiti.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos anjuran Jabatan Sumber Manusia (JSM) UUM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan UUM itu menghimpunkan 96 staf daripada pelbagai jabatan, yang sanggup meninggalkan rutin kerja harian demi menguji daya tahan diri dalam suasana latihan berkonsepkan ketenteraan.

Idea pelaksanaan program rejimental mula dicetuskan pada 2014 dengan penglibatan Kumpulan Pegawai Tadbir, sebelum diperluas kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Matlamatnya membentuk barisan pentadbir UUM yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah sarat dengan nilai ILMU, BUDI, dan BAKTI.

Pengarah Jabatan Keselamatan UUM, Left. Kol. Mohamad Ezanee Yazid berkata, latihan ini sebagai platform penting untuk membentuk sahsiah dan daya tahan anggota organisasi.

“Latihan seperti ini bukan sekadar membina kekuatan fizikal, malah membentuk karakter yang berintegriti dan berdaya tahan elemen penting dalam memastikan keselamatan kampus sentiasa terpelihara,” katanya.

Majlis penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada individu dan kumpulan terbaik, tanda penghargaan atas komitmen dan prestasi cemerlang sepanjang program.

Salah seorang peserta, Siti Samihah Mohd Zin berkata, pengalaman ini benar-benar mencabar tetapi sarat dengan manfaat.

“Walaupun kami bukan petugas di lapangan keselamatan, latihan sebegini memberikan pengalaman yang sangat bermakna.

“Ia menguji stamina, disiplin, dan semangat kami untuk terus berusaha,” katanya.

Sekali lagi, Program Rejimental Staf 2025 membuktikan keupayaan UUM dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing, tetapi juga memiliki keperibadian unggul, integriti tinggi, dan semangat pasukan yang padu demi merealisasikan misi universiti untuk terus maju dan berdaya saing. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button