Latihan Kesedaran Halal tingkat pemahaman konsep halal dalam perniagaan
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
SINTOK, 16 Mac 2025: Latihan Kesedaran Halal – Awam bagi sesi Mac 2025 telah dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan seramai 36 peserta daripada pelbagai syarikat di utara Malaysia.
Pengarah Institut Pengurusan Halal (IHM), Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, program anjuran IHM ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman mengenai konsep halal, prosedur pensijilan, serta kepentingan pematuhan halal dalam operasi perniagaan.
Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan aspek kritikal dalam pematuhan halal bagi memastikan produk dan perkhidmatan memenuhi standard yang ditetapkan.
Latihan ini turut memberi penekanan kepada kepentingan pensijilan halal dalam meningkatkan daya saing perniagaan serta keyakinan pengguna terhadap produk yang dihasilkan.
Antara syarikat yang menyertai latihan ini termasuk Azizah Pau Bakar, Ong Chuan Hin Sdn Bhd, Bumi Gigih Sdn Bhd, MFI Berkat Ikhlas Enterprise, Bukit Raya Sdn Bhd, Lian Yang Agro Sdn Bhd, Lai Hin Trading Sdn Bhd, dan Perusahaan Hasil Laut Musliha.
Penyertaan syarikat-syarikat ini mencerminkan komitmen industri dalam memastikan pematuhan terhadap standard halal yang semakin mendapat perhatian pengguna.
IHM melihat penganjuran latihan halal bersama industri ini sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada pihak IHM mewakili Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak industri dalam isu berkaitan halal.
Dr. Nor Aina turut berharap agar pihak industri yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu yang telah diberikan dan IHM akan lebih komited dengan penganjuran aktiviti bersama industri halal.