Lawatan BE Sarawak ke UUM untuk perkukuhkan kerjasama dengan lebih erat
Gambar Aida Rasyidah Ahmad Muaen
SINTOK, 6 Ogos 2025: Delegasi daripada Business Event Sarawak (BE Sarawak) telah hadir ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua hari pada 29 Julai lalu bagi menjalin kerjasama yang lebih erat di antara UUM dan pihak Pengurusan BE Sarawak.
BE Sarawak merupakan rakan MoU UUM di bawah tanggungjawab Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dan kunjungan hormat ini merupakan salah satu aktiviti pengisian MoU tersebut.
BE Sarawak yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif BE Sarawak, Amelia Roziman telah disambut Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim, pensyarah dan staf pentadbiran STHEM.
Antara pengisian kunjungan hormat BE Sarawak ke UUM adalah perlawanan persahabatan pickleball bersama Naib Canselor di Pusat Sukan UUM yang diwakili oleh Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dan pihak BE Sarawak turut menyumbang dua jaring pickleball kepada STHEM.
Pada 30 Julai, BE Sarawak telah menyampaikan taklimat Geran Penganjuran Persidangan di Sarawak kepada wakil jawatankuasa seminar pusat pengajian dan staf akademik UUM di Bilik Mesyuarat Andaman STHEM.
Amelia berkata, BE Sarawak sangat berbesar hati untuk mengadakan kerjasama dengan UUM dan berharap pihak UUM dapat datang ke BE Sarawak untuk menjalankan aktiviti kerjasama dengan lebih kerap lagi.
Taklimat ini menyentuh berkaitan sumbangan dana kepada mana-mana pihak di UUM yang berminat untuk mengadakan persidangan di Sarawak di mana mereka akan menampung sebahagian besar kos persidangan tersebut.
Selain itu, BE Sarawak turut menawarkan program mobiliti sama ada kepada pelajar atau pensyarah untuk membuat program CSR di Sarawak.
Tetamu juga turut berpeluang menikmati laksa Sarawak yang disediakan oleh pihak BE Sarawak dengan kerjasama pensyarah kulinari STHEM. – Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar