Campus

Lawatan ke Ladang dan Kilang Sambal Penyek Sintok

Berita dan gambar Azimah Ahmad

SINTOK, 20 Januari 2026: Satu lawatan ke Ladang dan Kilang Sambal Penyek Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan sebagai pendedahan terhadap ekosistem keusahawanan agro dan pemprosesan makanan berasaskan komuniti setempat.

Program dimulakan dengan aktiviti briskwalk pada jam 9 pagi sebelum peserta tiba di kawasan ladang yang luas dan subur. Tanaman cili yang diusahakan di ladang tersebut mempunyai banyak plot, dengan hasil tuaian mencecah lebih 100kilogram sehari.

Timbalan Pengarah, Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor berkata, sebahagian besar tenaga kerja di ladang ini terdiri daripada golongan asnaf sekitar Changlun, sekali gus memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada komuniti setempat.

Selain tanaman cili, ladang ini turut menempatkan bahagian tanaman sayur-sayuran yang diusahakan secara berperingkat. Kehadiran bahagian sayur ini melengkapkan ekosistem agro yang dibangunkan, sekali gus membuka peluang kepada kepelbagaian hasil pertanian yang boleh dipasarkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Selepas lawatan ke ladang, rombongan turut dibawa ke kilang pemprosesan Sambal Nyet Sintok. Di sini, peserta berpeluang melihat sendiri keseluruhan proses penghasilan sambal – bermula daripada cili segar yang digredkan kepada empat kategori (A, B, C dan undergrade), sehinggalah ke peringkat memasak, pembungkusan dan siap untuk dipasarkan.

Cili undergrade yang tidak digunakan untuk jualan segar dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembuatan sambal, sekali gus membuka ruang penjanaan pendapatan tambahan melalui inovasi pemprosesan makanan.

Menariknya, sambal yang dihasilkan hadir dalam tiga variasi, dan peserta turut berkesempatan membeli produk tersebut sebagai sokongan kepada usaha komuniti.

Selain itu, kilang pemprosesan ini juga membuka peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar UUM, sekali gus memberi pendedahan praktikal dalam bidang keusahawanan dan industri makanan.

Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta tentang ekosistem agro dan pemprosesan makanan, tetapi juga menonjolkan bagaimana usaha berasaskan komuniti mampu menjana ekonomi setempat serta memperkukuh semangat keusahawanan sosial.

Dengan adanya bahagian tanaman sayur yang sedang berkembang, diharapkan projek ini terus maju dan menjadi model pembangunan agro-komuniti yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat sekitar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button