Lawatan KPDN ke UUM perkukuh kerjasama strategik dalam penguatkuasaan harta intelek dan penipuan dalam talian
Berita dab gambar Nur Diyana Othman
SINTOK, 26 Mei 2025: Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, khususnya berkaitan perlindungan harta intelek, penipuan dalam talian serta aspek perundangan yang dikuatkuasakan di bawah seliaan KPDN.
Lawatan ini telah diketuai oleh Pengarah Seksyen Harta Intelek (SHI), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Zubir Hamsa dan disambut oleh Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman serta barisan pengurusan PAP.
Dalam sesi perbincangan tersebut, SHI KPDN menyatakan komitmen untuk menjalin kerjasama bersama pihak UUM dalam aspek perkongsian maklumat, pendidikan dan advokasi berkenaan penguatkuasaan harta intelek dan isu penipuan dalam talian.
Pihak KPDN turut menekankan peranan penting yang boleh dimainkan oleh golongan pelajar dalam menyebarkan kesedaran serta membanteras aktiviti penipuan dalam ruang digital.
Sehubungan itu, KPDN menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam penganjuran program kesedaran pengguna, latihan dan penyaluran maklumat sebagai usaha memperkukuh perlindungan pengguna serta penguatkuasaan hak harta intelek di peringkat nasional.
Sementara Dr. Muhammad Fuad dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak KPDN atas kesudian mengadakan lawatan dan membuka ruang kerjasama strategik bersama UUM.
Beliau menyatakan harapan agar jalinan ini dapat diteruskan secara berterusan dan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, terutamanya dalam memperkasa kesedaran pelajar terhadap kepentingan perlindungan harta intelek secara holistik.
Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Pegawai Kanan Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Mohd Shazuan Che Pin, serta wakil UUM iaitu Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar, dan Timbalan Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad.