Campus

Lawatan penanda aras ADTEC Kulim perkukuh jalinan kelestarian dengan UUM

Gambar Muhammad Luqman Hakim Rosdi

SINTOK, 3 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Pusat Latihan Teknologi Termaju (ADTEC) Kulim, Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia ke Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) pada 28 Ogos lalu.

Lawatan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) itu bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta perkongsian pengalaman berhubung inisiatif kelestarian dan pengurusan mampan yang telah dilaksanakan oleh UUM.

Delegasi seramai 11 staf ADTEC Kulim disambut oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Perundingan) CETMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof;  Pengarah Institute for Strategic and Sustainable Accounting Development (ISSAD), Prof. Madya Dr. Azharudin Ali berserta lima staf CeTMA.

Timbalan Pengarah ADTEC Kulim, En. Mohd Zamri Mansor berkata, lawatan penanda aras ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh pelaksanaan inisiatif kelestarian di kampus mereka.

Menurutnya, melalui kunjungan ini, mereka berpeluang mempelajari amalan terbaik UUM, khususnya dalam inisiatif Living Campus, Projek Transformasi Changloon (CTP) dan Green Campus yang telah berjaya dilaksanakan.

Beliau turut menyatakan puas hati dengan perkongsian yang diberikan oleh pihak UUM dan memaklumkan bahawa inisiatif seperti CTP yang dijalankan di UUM merupakan langkah terbaik yang boleh diaplikasikan di kawasan Kulim.

“Melalui program ini, hubungan kerjasama strategik antara UUM dan ADTEC Kulim dijangka dapat diperkukuhkan, khususnya dalam aspek pembangunan mampan dan pengurusan komuniti,” katanya.

Hadir sama, Ketua Bahagian ADTEC, Ts. Sufian Ayob; Ketua Jabatan Elektronik, Mohd Norhisham Maznan; Ketua Bahagian Pengajian Am ADTEC, Dr. Amerudin Ismail; Ketua Bahagian Mekanikal (Pemesinan) ADTEC, Imran Md Yatim; Ketua Bahagian BKP, Naemah Bakar; Pengajar Kanan Mekatronik, Ts. Muhamad Naim Leman; Pengajar Jabatan Mekanikal, Muhamod  Shukor Said; dan Penolong Pegawai Tadbir Kewangan, Rohani Abdul Manap. – Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button