Little Bites of Culture perkaya pengalaman pembelajaran pelajar KSU, Jepun
Gambar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM)
SINTOK, 16 Mac 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu program masakan bertemakan “Little Bites of Culture” bertempat di Dapur Latihan STHEM sebagai sebahagian pengisian Program Mobiliti Inbound Tidak Berkredit bersama Kyoto Sanyung University (KSU), Jepun yang melibatkan penyertaan 26 pelajar.

Program mobiliti ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dengan kerjasama STHEM bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran sepanjang tempoh 22 hari pelajar KSU berada di UUM.
Penglibatan STHEM dalam program ini memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk mengenali dengan lebih dekat budaya kulinari Malaysia melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal.
Sesi demonstrasi dan latihan masakan telah dikendalikan oleh pensyarah STHEM, Siti Aminah Hasbullah yang turut berkongsi pengetahuan berkaitan teknik penyediaan hidangan pencuci mulut tempatan.
Siti Aminah berkata, dalam program tersebut, peserta berpeluang mempelajari cara menyediakan dua hidangan tradisional Malaysia iaitu Puding Karamel dan Buah Melaka, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka dalam meneroka kepelbagaian rasa dan teknik masakan tempatan.

Menurutnya, melalui aktiviti berbentuk pembelajaran secara langsung di dapur latihan, peserta bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran asas penyediaan makanan, malah turut berpeluang memahami nilai budaya dan tradisi yang terkandung dalam setiap hidangan.
“Pendekatan ini selari dengan usaha STHEM dalam mempromosikan warisan kulinari tempatan kepada pelajar antarabangsa melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif dan bermakna.
“Program ini juga bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara STHEM dan STML dalam menjayakan inisiatif mobiliti antarabangsa universiti. Selain itu, program sebegini turut memberi pendedahan kepada peserta mobiliti mengenai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi di Malaysia, di samping membuka ruang kepada pertukaran budaya, perkongsian pengalaman serta pembinaan jaringan antarabangsa antara pelajar UUM dan Kyoto Sanyung University,” katanya.
Penganjuran aktiviti “Little Bites of Culture” ini secara tidak langsung memperlihatkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti melalui penglibatan akademik dan perkongsian kepakaran. Program ini diharapkan dapat terus mempereratkan hubungan strategik antara UUM dan KSU serta memupuk persefahaman budaya melalui medium pendidikan dan kulinari. – Siti Aminah Hasbullah



