Mahasiswa UUM jejak dunia media profesional
Berita dan gambar oleh Amirulhafez Abdullah
SHAH ALAM, 1 Julai 2025: Dalam usaha memperkukuh hubungan industri-akademi, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf yang melibatkan 42 pelajar INASIS SME Bank dan 8 staf universiti. Lawatan strategik ini merupakan sebahagian daripada Program Halatuju Mahasiswa: Menyingkap Dunia Media & Korporat yang berlangsung selama dua hari pada 30 Jun hingga 1 Julai 2025.
Inisiatif kolaboratif antara Majlis Tertinggi & Biro Informasi Penerbitan, JKPS INASIS SME Bank ini telah direka khusus untuk memberikan pendedahan mendalam kepada mahasiswa tentang evolusi industri media dan penerbitan dalam era transformasi digital.
Antara pengisian utama termasuk sesi perkongsian pengalaman dengan Encik Maidin, Pengurus Besar Ultimate Print Sdn Bhd- Karangkraf, yang memberikan gambaran tentang proses penerbitan moden dan cabaran industri percetakan di era digital. Turut hadir sebagai pembentang utama ialah Encik Khairil Anwar Mohd Amin, Penolong Ketua Wartawan Sinar Harian, yang berkongsi pengalaman lapangan dalam bidang kewartawanan dan dinamika industri media massa tempatan.
Menurut Pengarah Program, Amirulhafez Abdullah, inisiatif ini bukan sekadar latihan lapangan tetapi platform membina empati, komunikasi dan amanah dalam kalangan mahasiswa.
“Dalam era revolusi digital ini, kita tidak boleh membenarkan mahasiswa kita belajar di menara gading tanpa memahami realiti industri yang berubah pantas. Program ini adalah manifestasi nyata daripada falsafah ‘learning by doing’ yang saya yakini akan melahirkan graduan yang tidak hanya berkualiti akademik, tetapi juga memiliki daya saing global dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” jelasnya.
Program ini merealisasikan komitmen UUM terhadap SDG 4 (Quality Education) melalui pendekatan experiential learning yang menghubungkan teori akademik dengan praktik industri. Ia turut menyokong SDG 8 (Decent Work and Economic Growth) dengan menyediakan platform untuk pelajar memahami keperluan dan peluang dalam industri media.