Makmal PRL STML terima kunjungan delegasi UNAND, Indonesia
Gambar Mohamad Faiznor Azmi
SINTOK, 24 Jun 2025: Makmal Pelletasi dan Kitar Semula (PRL) di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menerima kunjungan akademik daripada delegasi Jabatan Kejuruteraan Industri, Universitas Andalas (UNAND), Indonesia.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Ketua Penyelidik, Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah di mana beliau telah memberikan taklimat ringkas mengenai fungsi dan kemudahan makmal serta mengetengahkan beberapa projek penyelidikan utama yang dijalankan, khususnya berkaitan inovasi berasaskan bahan buangan.
Menurutnya, antara projek yang diperkenalkan ialah penghasilan membran bioplastik menggunakan campuran tepung jagung dan sekam padi sebagai alternatif kepada membran komersial iaitu plastik polimer.
Katanya, inovasi ini dirancang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan berasaskan petroleum serta menyokong inisiatif bahan terbiodegradasi dan mesra alam.
“Selain itu, makmal ini turut membangunkan pellet plastik daripada campuran sisa plastik dan sekam padi bagi menghasilkan produk plastik pakai buang yang boleh terurai secara semula jadi tanpa memerlukan proses kitar semula.
“Projek ini sedang dijalankan di bawah pembiayaan geran Dana Inovasi yang aktif, yang menyokong penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang kelestarian dan pengurusan sisa secara inovatif, sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran,” katanya.
Delegasi UNAND juga diperkenalkan kepada beberapa hasil projek pelajar tahun akhir yang berteraskan bahan buangan, antaranya bata daripada sisa tekstil, gincu daripada kulit buah naga, dan sabun organik yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai dan daun kari.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen makmal terhadap pembangunan produk mesra alam yang bersumberkan bahan buangan tempatan. Selain itu, pihak UNAND menyatakan minat mendalam untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Makmal Pelletasi dan Kitar Semula dalam penyelidikan berkaitan inovasi sisa buangan, dengan hasrat memperluaskan aplikasi penyelidikan mampan ke peringkat serantau.
Projek-projek yang dijalankan di makmal ini menyumbang secara langsung kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Antaranya termasuk menyokong pembangunan industri, inovasi dan infrastruktur melalui penciptaan teknologi berasaskan bahan buangan; mempromosikan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab melalui pemanfaatan sisa kepada produk yang berguna; serta menyumbang kepada tindakan menangani perubahan iklim melalui penghasilan bahan alternatif yang boleh terurai.
Selain itu, kerjasama antara UUM dan UNAND ini juga memperkukuh matlamat untuk menjalin perkongsian global dalam penyelidikan dan pembangunan mampan.
Kunjungan ini diharap menjadi pemangkin kepada hubungan akademik yang lebih kukuh dan membawa impak positif dalam memperkasa inovasi kelestarian serantau. – Afnizura Fadlin Mahyuddin