Mentor Mentee SOE kukuhkan budaya bimbingan staf akademik
Gambar SOE
SINTOK, 24 Julai 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Mentor-Mentee bagi pensyarah baharu sebagai usaha memperkukuhkan budaya bimbingan dan pembangunan profesional dalam kalangan staf akademik.
Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, program ini bertujuan untuk memperkenalkan sistem mentor-mentee secara rasmi serta menyerahkan surat lantikan kepada mentor yang dilantik bagi membimbing pensyarah baharu dalam menyesuaikan diri dengan ekosistem akademik dan pengurusan universiti.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya bimbingan berterusan bagi memastikan pensyarah baharu dapat berkembang dari segi pedagogi, penyelidikan, serta sumbangan kepada komuniti dan universiti.
Katanya, pelantikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif strategik pusat pengajian untuk memperkasakan pembangunan sumber manusia akademik secara holistik.
Seramai enam pensyarah baharu telah dipadankan dengan enam mentor yang berpengalaman dalam pelbagai bidang kepakaran.
Majlis ini turut diserikan dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pensyarah kanan yang menjadi mentor serta penyampaian surat perlantikan kepada mentor dan mentee.
Penganjuran majlis ini membuktikan komitmen berterusan pusat pengajian dalam menyediakan persekitaran kerja yang menyokong, inklusif dan berorientasikan pembangunan berterusan. – Hasliza Shafie