Campus

MyAERO Northern Talent platform perkasa bakat muda dalam industri aeroangkasa

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 26 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dipilih sebagai tuan rumah bagi program inovatif Aerospace TVET & STEM Tour Series 5, MyAERO Northern Talent anjuran National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula 25 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof. Ts. Shamsul Kamar Abu Samah dalam ucapannya berkata, program ini membuka peluang kepada pelajar, guru, dan golongan belia untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan industri aeroangkasa, sekali gus memperkasa aspirasi mereka dalam bidang ini.

Menurutnya, MyAERO Northern Talent merupakan satu inisiatif yang memberi pendedahan kepada dunia aeroangkasa melalui pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah kerjaya, aktiviti interaktif berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta pameran teknologi canggih.

Katanya, program ini bukan sahaja menggalakkan minat dalam bidang aeroangkasa, tetapi turut membina jalinan kukuh antara pelajar, institusi pendidikan dan pihak industri.

“Program ini dijangka menjadi satu acara berimpak tinggi yang menyemarakkan lagi minat serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam sektor aeroangkasa yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kerjasama ini dapat memberi peluang untuk membangunkan pelajar sebagai tenaga kerja masa hadapan.

“Saya percaya dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih ramai golongan muda akan menyertai bidang aeroangkasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Boeing Composites Malaysia, Faisal Sraieldin, menyatakan bahawa melalui lawatan dan aktiviti secara langsung (hands-on), program ini bertujuan memperkasakan bakat tempatan dengan pengetahuan teknikal, membuka akses kepada peluang pendidikan dan kerjaya, serta menghubungkan ekosistem pendidikan dengan sektor aeroangkasa yang semakin berkembang.

Kira-kira 1,000 pelajar dan belia telah menghadiri MyAERO Northern Talent dan pada majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah bagi kategori Best Teamwork Engineering Aeromodelling 2025 – International Indoor Air Games 2025, yang dimenangi oleh MRSM Kubang Pasu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang mewakili Naib Canselor berkata, UUM melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) akan meneruskan perancangan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan menjalin kolaborasi, khususnya melibatkan pelajar praktikum di Boeing.

Menurutnya, kerjasama ini akan terus memupuk hubungan erat antara UUM dan Boeing, serta memberi manfaat kepada pelajar dalam meraih pengalaman industri yang berkualiti.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada NAICO atas kesudian mereka bekerjasama dengan UUM, serta berharap agar NAICO terus membantu para pelajar universiti ini dalam menceburi industri aeroangkasa.

“Kepada guru dan pelajar, saya berharap program ini akan mencetuskan semangat dan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.

“Rebutlah peluang yang disediakan oleh syarikat-syarikat gergasi ini. Amatlah rugi jika anda hadir tetapi melepaskan peluang yang mungkin mampu membantu membina kerjaya anda pada masa akan datang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button