Perkongsian UUM CSGS budayakan aktiviti penyelidikan
SINTOK: Jawatankuasa Penyelidikan dan Perundingan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah mengambil inisiatif membudayakan aktiviti penyelidikan berbentuk kajian kes dalam kalangan staf akademik SQS dengan menganjurkan sesi perkongsian Skim Geran Kajian Kes Universiti Utara Malaysia (UUM CSGS) yang ditawarkan oleh Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) UUM.
Selain membudayakan penyelidikan di SQS, staf akademik turut dibantu bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan penyelidikan masing-masing, sekali gus menyumbang kepada KPI tahunan penyelidikan SQS dan UUM.
Perkongsian ilmu ini telah berlangsung baru-baru ini secara atas talian yang dihadiri seramai 40 staf akademik SQS.
Penceramah yang dijemput ialah Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Narentheren a/l Kaliappen dan Timbalan Pengarah PKKPK, Dr. Noor Amalina Matt Yusof.
Ahli panel lain terdiri daripada Prof. Madya Dr. Shafini Mohd Shafie (penerima CSGS 2024, Research Case) dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Dr. Munirah Khamarudin (penerima CSGS 2024, Teaching Case) dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) bersama moderator, Prof. Madya Dr. Norazura Ahmad (penerima CSGS 2021) dari SQS.
Pihak pengurusan mengharapkan dengan perkongsian ini dapat meningkatkan bilangan staf akademik SQS yang memohon Skim Geran Kajian Kes UUM yang kebiasaannya akan ditawarkan oleh PKKPK UUM pada awal setiap tahun. – Dr. Adya Ibrahim