Campus

Pesta Konvokesyen Ke-38 semarak semangat keusahawanan dalam kalangan graduan UUM

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 10 November 2025: Pesta Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (PESKON 38) telah membuka tirainya secara rasmi dengan penuh meriah di Padang Kawad PALAPES, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menghimpunkan ribuan pengunjung terdiri daripada pelajar, alumni, dan masyarakat setempat pada Khamis lalu.

Bertemakan “Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan”, pesta tahunan ini menjadi wadah utama bagi mengasah bakat dan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, di samping meraikan kejayaan para graduan UUM.

Majlis perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Pengerusi LPU UUM, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, yang memuji komitmen universiti dan pelajar kerana berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung ke acara berprestij ini.

“Saya amat menghargai usaha pihak universiti dan pelajar yang berjaya menarik penyertaan ramai ke Festival of Idea (FOI) dan saya juga berharap FOI dapat terus berkembang dengan penglibatan lebih banyak universiti dan kolej pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Megat Sany turut menyeru agar pelajar memanfaatkan peluang berniaga semasa pesta ini dengan penuh kesungguhan dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai ruang pembelajaran yang berharga.

“Usahawan muda perlu berniaga dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama terus menuntut ilmu dengan tekun.

“Kejayaan tidak datang sekelip mata, tetapi melalui usaha gigih dan disiplin yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Amirul Mohd Yusof Amirul menzahirkan penghargaan kepada seluruh Sekretariat PESKON 38 atas dedikasi dan usaha dalam menjayakan penganjuran pesta konvokesyen pada kali ini.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sekretariat PESKON 38 serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta kali ini.

“Tema Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan mencerminkan usaha kita untuk memupuk semangat keusahawanan dalam diri mahasiswa UUM agar mereka mampu menjadi graduan yang berdikari, berdaya saing dan berfikiran inovatif,” katanya.

PESKON 38 yang berlangsung dari 6 hingga 14 November 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk kepelbagaian jualan vendor yang terdiri daripada vendor pelajar, pekerja serta alumni UUM, pameran syarikat korporat, pelbagai persembahan artis terkenal tanah air, serta pelbagai aktiviti komuniti yang mengeratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat.

Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan universiti. – Maisarah Mohd Radzi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button