Campus

PKKPK jalani Audit Kualiti Dalaman MS ISO 9001:2015

Berita dan gambar Nur Amirah Zakaria

SINTOK, 3 Ogos 2025: Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah melalui proses Audit Kualiti Dalaman bagi penilaian Sistem Pengurusan Kualiti berasaskan standard MS ISO 9001:2015 pada Khamis lalu.

Sesi audit dimulakan dengan taklimat pembukaan oleh Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Narentheren Kaliappen, yang telah berkongsi maklumat mengenai fungsi dan peranan pusat, memperkenalkan warga kerja PKKPK, serta membentangkan pencapaian, penemuan audit terdahulu dan langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan.

Ketua Juruaudit, Dr. Marini Kassim menjelaskan bahawa pelaksanaan audit kali ini memberi tumpuan kepada aspek penambahbaikan berterusan, pemantauan prestasi, pengurusan risiko serta penjajaran dengan pelan strategik pusat.

Audit ini telah dijalankan oleh tiga Juruaudit Kualiti Dalaman yang dilantik selain Dr. Marini ialah Dr. Nur Rosdiatul Husna Ahmad Fauzi, dan Amelia Hakimi.

Dr. Marini berkata, audit ini dilaksanakan menerusi pendekatan berasaskan proses, yang merangkumi sesi temubual bersama staf PKKPK, semakan terhadap dokumentasi dan rekod, serta pemerhatian ke atas pelaksanaan tugas harian.

Mesyuarat Penutupan Audit telah diadakan pada sebelah petang di mana Dr. Marini telah membentangkan dapatan audit serta memberikan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

Hasil keseluruhan audit menyaksikan PKKPK menerima tiga cadangan penambahbaikan yang akan menjadi panduan penting dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan kualiti pusat ini.

Ketua Juruaudit turut menyatakan rasa puas hati terhadap komitmen dan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti di PKKPK.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button