Power BI: Learn & Explore buka minat pelajar dalami visualisasi dan analisis data
Gambar Khairunnisa Ab Rahman
SINTOK, 19 Januari 2025: Program Power BI: Learn & Explore anjuran Persatuan Linguistscape, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) berjaya menarik minat kira-kira 150 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari pelbagai bidang pengajian.
Program bimbingan di bawah pelajar Sarjana Muda Sains Teknologi Maklumat, Nurul Anissa ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) dan UUM mengenai penggunaan perisian Microsoft Power BI sebagai alat analisis data, sejajar dengan keperluan industri digital.
Penasihat Persatuan, Dr. Mohamad Zakuan Tuan Ibharim berkata, program ini sangat membantu pelajar UUM dan BLIT untuk meningkatkan kefahaman terhadap aplikasi dan visualisasi data.
Menurutnya, program ini memberi asas penting kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan keperluan dunia pekerjaan yang dipacu teknologi.
Sementara itu, Pengarah program, Zharif Afzhan Zhuraini turut memuji dedikasi pelajar yang menunjukkan komitmen penuh dalam memastikan kejayaan program ini.
Katanya, program ini bukan sekadar bengkel pembelajaran tetapi juga satu pengalaman berharga kepada semua peserta bagi meningkatkan kemahiran penggunaan Microsoft Power BI.
“Power BI: Learn & Explore bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap data analisis tetapi juga menjadi bukti komitmen UUM dalam memperkasa mahasiswa untuk bersaing di peringkat global,” katanya. – Nurfatin Aleysyah Abdul Razly